Lagi pecah masuk rumah bersenjata parang di Putrajaya

Sebuah rumah di Presint 9, Putrajaya dipecah masuk sekumpulan penjenayah dipercayai warga Indonesia dan berjaya melarikan wang tunai serta barang kemas, pada Isnin. (Gambar kecil: A Asmadi)
Sebuah rumah di Presint 9, Putrajaya dipecah masuk sekumpulan penjenayah dipercayai warga Indonesia dan berjaya melarikan wang tunai serta barang kemas, pada Isnin. (Gambar kecil: A Asmadi)
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Selepas terlibat dalam kes pecah rumah dan samun di Presint 11, di sini Rabu lalu, geng dipercayai warga Indonesia itu semakin berani melakukan jenayah terbabit di Presint 9, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.50 pagi itu, mangsa seorang ahli perniagaan sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki warga Indonesia bersenjatakan parang dan kayu.

Menurutnya, salah seorang suspek kemudian telah mengikat mangsa dengan menggunakan 'cable tie' sebelum menyedari bapa dan ibunya turut diikat oleh suspek.

"Geng terbabit memakai ski mask selain bersenjatakan dua parang dan satu kayu.

"Suspek telah mengambil dua utas gelang, rantai leher serta wang tunai yang keseluruhan dianggar bernilai RM5,000," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai masuk ke rumah teres dua tingkat itu melalui pintu 'sliding' berikutan terdapat kesan umpil.

Katanya, berdasarkan modus operandi jenayah aktif sekitar jam 2 hingga 4 pagi itu, dipercayai suspek adalah individu sama terlibat kes serupa di sebuah rumah dua tingkat di Presint 11, Putrajaya minggu lalu.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sedang melaksanakan Operasi Bersepadu selain rondaan bagi berusaha mengesan geng terbabit dipercayai turut terlibat dengan kes di daerah berhampiran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Penghuni perumahan diingatkan agar terus berwaspada dan memastikan pintu tingkap serta pintu 'sliding' berkunci baik.

"Tambah baik ciri keselamatan termasuk kualiti kunci mangga, pintu jeriji, CCTV, sensor penggera serta buka lampu belakang serta sisi rumah," ujar beliau.