Penganggur mengaku tidak salah lakukan pemerasan

Kedua-dua tertuduh (empat dan lima dari kiri) ketika dibawa ke mahkamah pada Isnin.
Kedua-dua tertuduh (empat dan lima dari kiri) ketika dibawa ke mahkamah pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Dua penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita minggu lalu.

Tertuduh, Tan Ang Kang, 42 dan Yeoh Teck Kiat, 31 membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua lelaki itu secara bersama-sama pada 13 September lalu di lot kedai berdekatan asrama sebuah kolej di Mantin dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita berusia 45 tahun.

Perbuatan itu telah mendorong dengan curangnya supaya wanita itu menyerahkan sebuah telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Axia dan wang berjumlah RM200 kepada tertuduh.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen kedua-kedua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen yang sah terhadap wanita sama pada 25 Mei lepas di Pekan Taman Semarak, Nilai.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Diana Md Razali sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Oleh demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan berjumlah RM14,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir dan Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah seterusnya menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.