MBSP, Windsor Animal Hospital bekerjasama kawal anjing, kucing terbiar

David (dua, kiri) mewakili MBSP menandatangani memorandum persefahaman dengan wakil Windsor Animal Hospital, Joel, pada Isnin.
David (dua, kiri) mewakili MBSP menandatangani memorandum persefahaman dengan wakil Windsor Animal Hospital, Joel, pada Isnin.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bekerjasama dengan hospital haiwan swasta, Windsor Animal Hospital untuk mengawal populasi anjing dan kucing terbiar di kawasan Seberang Perai.

MBSP berkata, kerjasama itu untuk menjalankan pemandulan kedua-dua haiwan itu meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.

"Hospital haiwan ini dipilih kerana mempunyai kepakaran doktor pakar bedah veterinar bertauliah yang dapat membantu pihak MBSP mengawal populasi anjing dan kucing yang berkeliaran," menurut MBSP dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Menurut MBSP, dengan kerjasama itu, pihaknya berharap kaedah pemandulan yang dijalankan boleh mengurangkan populasi anjing dan kucing berkeliaran.

Sebelum itu, MBSP menandatangani memorandum persefahaman dengan Windsor Animal Hospital berhubung Program Pemandulan Anjing/Kucing di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP, di sini.

MBSP diwakili Whip Ahli Majlis, P David Marshel manakala Windsor Animal Hospital diwakili pengurus besarnya, Joel Jayaruben.

Kata MBSP lagi, secara purata, jumlah anjing terbiar yang ditangkap dalam tempoh setahun adalah 3,500 ekor.

"Operasi haiwan merayau ini meliputi tangkapan kambing, lembu, kerbau dan paling utama adalah anjing yang berkeliaran di kawasan awam. Maklumat diperoleh berdasarkan pemeriksaan rutin dan aduan orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Joel berkata, dengan kerjasama itu, ia dapat meningkatkan dan mengembangkan bakat pakar bedah veterinar hospital tersebut selain mendapat publisiti serta perhatian daripada warga Seberang Perai.