Serangan peribadi, modal kempen minggu akhir: BN

Mohamad ditemui di Bilik Gerakan Utama BN, hari ini.
A
A

SEREMBAN - Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menolak kemungkinan lebih banyak kempen berbentuk serangan peribadi dan parti dilakukan menjelang minggu akhir sebelum PRK pada 13 April ini.

Menurutnya, perkara ini terjadi kerana parti lawan dilihat semakin galak melemparkan fitnah bertujuan membunuh karakter beliau yang sebelum ini dilihat 'bersih' dalam kalangan pengundi di DUN Rantau.

"Minggu kedua kempen ini kita lihat semakin banyak provokasi.

"Saya harap orang ramai dapat bezakan yang mana betul atau tidak. Kalau dapati saya ada buat kesalahan termasuklah ketika memegang jawatan sebagai menteri besar buat laporan kepada pihak berkuasa,"katanya di Bilik Gerakan Utama BN di sini, hari ini.

Mohamad berkata, budaya kempen provokasi dan memfitnah lebih banyak mengundang keburukan.

"Kita kempen PRK hanya dua minggu, tetapi kesan diterima dengan cara menyerang dan memfitnah akan mewujudkan perpecahan lebih besar,"katanya.

Beliau juga menyarankan adalah lebih baik jika semua parti bertanding membawa agenda parti untuk membantu rakyat dan pembangunan berbanding kempen berbaur provokasi dan fitnah.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia