Alcaraz bantu Sepanyol ke suku akhir Piala Davis

Alcaraz meraikan kemenangannya sekali gus membantu Sepanyol mara ke suku akhir Piala Davis. - Foto AP
Alcaraz meraikan kemenangannya sekali gus membantu Sepanyol mara ke suku akhir Piala Davis. - Foto AP
A
A
A

PEMAIN nombor satu dunia yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Carlos Alcaraz mempamerkan aksi mantap bagi membantu Sepanyol mara ke suku akhir Piala Davis, pada Ahad.

Beraksi di hadapan 8,000 penonton di Valencia, Alcaraz menewaskan pemain Korea Selatan, Kwon Soon-woo 6-4, 7-6 (1) sekali gus mengesahkan Sepanyol muncul juara bagi Kumpulan B.

Mengulas mengenai kemenangan berkenaan, Alcaraz berkata, ia merupakan satu kejayaan manis buatnya setelah memenangi Terbuka AS baru-baru ini.

Justeru katanya, momentum kemenangan berkenaan diharapkan bakal berterusan di suku akhir nanti.

“Secara keseluruhannya bermain di Piala Davis merupakan satu penghormatan besar buat saya, tetapi bermain selaku pemain nombor satu dunia adalah jauh lebih bermakna.

“Lebih mengagumkan adalah detik-detik ini mampu dikongsi bersama dengan semua orang di sini, keluarga dan juga rakan-rakan saya,” katanya.

Alcaraz membantu kemenangan 3-0 Sepanyol ke atas Serbia, Rabu lalu namun menerima kejutan apabila tewas kepada Kanada pada Jumaat yang turut menyaksikannya tewas kepada Felix Auger-Aliassime.

Bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun itu kembali berada pada prestasi terbaiknya pada Ahad bagi mencatatkan kemenangan ke atas Soon-woo.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Roberto Bautista Agut mencatatkan kemenangan 6-1, 6-3 ke atas Hong Seong-chan manakala gandingan Marcel Granollers-Pedro Martínez menewaskan Nam Ji-sung-Song Min-kyu 7-5, 3-6, 6-1.

Kemenangan itu menyaksikan Sepanyol bakal berdepan naib juara Kumpulan A, Croatia pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung pada November.