Sukma MSN 2022: Shaveena pasang impian ke Paris 2024

Shaveena selepas meraih pingat emas dalam acara 10meter air rifle wanita pada Sukma MSN 2022 di Lapang Sasar Menembak Subang pada Ahad. - Foto Bernama
Shaveena selepas meraih pingat emas dalam acara 10meter air rifle wanita pada Sukma MSN 2022 di Lapang Sasar Menembak Subang pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET menembak kebangsaan, V Shaveena Mei memasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berjaya merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Atlet Pulau Pinang berusia 20 tahun itu berkata, kejayaannya memenangi emas acara 10 meter (m) air rifle wanita menjadi pembakar semangat untuk beliau menyasarkan kilauan pingat di pentas antarabangsa terutama di pentas Sukan Olimpik.

"Mestilah ada, (impian untuk ke Olimpik) sasarannya adalah edisi di Paris, saya ada sasaran peribadi ke arah itu tetapi perlukan tempoh tertentu.

"Saya perlu kumpul mata kuota luar negara dulu seperti di kejohanan Piala Dunia, lalui pemilihan kemudian baru boleh ke Piala Dunia dan ke Paris," katanya kepada pemberita di Lapang Sasar Nasional Subang pada Ahad.

Untuk rekod, dua atlet menembak negara pernah beraksi di Sukan Olimpik adalah Johnathan Wong pada edisi 2016 di Rio de Janeiro dan Nur Suryani Mohd Taibi yang membuat penampilan pada Olimpik London 2012 dan Tokyo 2020.

Shaveena yang juga pelajar di Management and Science University berkata, beliau mula menceburi dunia menembak ketika umurnya sembilan tahun.

"Tiada siapa yang ajak untuk sertainya, saya sendiri yang buat penyelidikan bagaimana untuk sertai sukan ini," katanya yang membuat penampilan terakhir di Sukma kali ini.

Pada saingan final, Shaveena mengesahkan kejayaan selepas mengutip keseluruhan 243.7 mata sementara perak menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan Nur Izazi Rosli (243.5 mata) dan Nurul Athirah Huzaimi dari Perak meraih gangsa (219.2 mata).

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori berpasukan acara sama didominasi kontinjen Negeri Sembilan yang mengumpul keseluruhan 1,842 mata untuk muncul juara manakala perak dan gangsa masing-masing diraih Perak (1,838 mata) dan Pulau Pinang (1,831 mata).

Sementara itu, bagi acara 25m sport pistol wanita menyaksikan atlet Johor Mumtazah Shahidah Shamsuri berjaya mengetepikan saingan atlet kebangsaan Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin apabila memperoleh mata tertinggi untuk merangkul emas.

Pingat perak dan gangsa pula diraih Khairunnabiha Baharin dari Johor dan wakil Perak, Nurul Izzah Ahmad Khairi.

Johor berjaya mendominasi kategori berpasukan acara berkenaan dengan mengumpul keseluruhan 1,662 mata manakala perak milik Perak (1,641 mata) dan Pahang (1,626) membawa pulang gangsa.