Lima rekod kebangsaan lebur, Johor pamer penguasaan

Atlet kanu Johor bersama pingat emas dimenangi dalam acara 1000m pada Sukma MSN 2022 di Kompleks Sukan Air Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama
Atlet kanu Johor bersama pingat emas dimenangi dalam acara 1000m pada Sukma MSN 2022 di Kompleks Sukan Air Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PERTANDINGAN kayak Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 menyaksikan sebanyak lima rekod kebangsaan lebur dengan Johor mempamerkan dominasi untuk menyambar lima pingat emas.

Kontinjen dari selatan tanah air itu meraih emas pertama menerusi acara K1 1,000m lelaki menerusi Montoya Raw Micheal dengan catatan rekod kebangsaan baharu di Kompleks Sukan Air, Putrajaya.

Atlet berusia 19 tahun itu melakukan catatan tiga minit dan 51.505 saat, manakala atlet kebangsaan Khairul Naim Zainal (3:53.835s) yang mewakili Wilayah Persekutuan dan Muhammad Faris Akram Mohd Fauzi (4:13.561s) dari Terengganu, masing-masing meraih perak dan gangsa.

Rekod sebelum ini adalah 4:02.85s milik Khairul Naim, yang dicatatkan pada Kejohanan Dunia Remaja ICF 2021 di Portugal.

Montoya kemudiannya bergabung dengan Ahmad Nuqman Ayob, Mirza Adli Shahraziz dan Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal untuk menyumbangkan emas kedua menerusi acara K4 1,000m lelaki.

"Perlumbaan hari ini sangat baik dan mencabar dengan kehadiran atlet kebangsaan. Namun, saya hanya fokus kepada prestasi saya untuk meraih emas tanpa risau mengenai lawan di kiri dan kanan.

"Saya bersyukur dapat meraih dua emas dan pecahkan rekod, rakan sepasukan juga telah memberikan kerjasama yang baik," kata pemuda berketurunan Iban itu kepada pemberita.

Sementara itu, gandingan Akram Ariff Rasydan-Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize muncul juara K2 1,000m lelaki dengan memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 3:35.500s, mengatasi 3:39.190s yang dicatatkan oleh Montoya-Ahmad Ariff Rashdan di Portugal tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori wanita, Farah Zulaika Tokiman-Nur Aina Iylia Rahimi membawa pulang emas dengan rekod kebangsaan baharu 4:15.239s, mengatasi rekod terdahulu, 4:30.53s, milik Nurul Najieha Zulkifli-Farah Zulaika yang dicipta pada 2019 di Pattaya, Thailand.

Johor turut mengungguli acara K4 wanita 1,000m menerusi Norkiasah Zaenuddin, Nur Atasha Nabila Saring, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha yang turut mencatatkan rekod baharu 3:51.606s, mengatasi catatan 4:04.65s oleh Nurul Najieha, Farah Zulaika, Nur Atasha Nabila dan Norkiasah di Pattaya pada 2019.

Baki satu pingat emas pada hari ini dimenangi oleh Terengganu, apabila Syahida Asyiqin Rusli muncul juara acara K1 1,000m wanita dengan catatan 4:24.494s, mengatasi rekod 4:49.430s milik Nor Azita Ibrahim yang dilakukan pada Sukma 2014 di Perlis.

Sebanyak enam lagi pingat emas akan ditawarkan pada esok bagi jarak 500m.