PRU15: Ahli Bersatu perlu akur sebarang keputusan parti

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

TAMBUN - Tiada sebarang perbincangan diadakan mengenai kedudukan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berhubung calon kerusi Parlimen Bukit Gantang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai ahli, semua pihak perlu akur menerima sebarang keputusan yang telah ditetapkan parti.

"Sebagai ahli parti kita kena menerima keputusan-keputusan parti dan saya amat yakin Syed Abu Hussin faham perkara ini.

"Banyak perkara yang boleh beliau lakukan bagi membantu parti. Kalau bukan sebagai calon pun, ada banyak perkara beliau boleh lakukan untuk kepentingan parti, agama dan negara," katanya ketika ditemui pemberita pada Fiesta Sukan Jom Kome 2022 di Kampung Orang Asli Chadak, Hulu Kinta di sini pada Ahad.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Syed Abu Hussin akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang atas tiket bebas sekiranya tidak terpilih mewakili parti.

Kerusi itu dijangka menjadi rebutan selepas Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad mahu kekal bertanding di situ selepas pernah memenanginya pada PRU13 lalu.

Ahmad Faizal berkata, Syed Abu Hussin akan diberikan peranan besar kerana jasanya kepada rakyat di kawasan Bukit Gantang.

"Saya percaya beliau banyak berjasa kepada penduduk kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Dan tentunya kita akan pastikan kalau dicalonkan atau tidak, setiap pemimpin ada peranan besar yang boleh dimainkan," katanya.