Pejabat ADUN Ketari lancar tabung hadapi banjir

Young Syefura
Young Syefura
A
A
A

BENTONG - Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari melancarkan tabung sumbangan untuk persediaan bagi menghadapi banjir di kawasan terbabit.

ADUN Ketari, Young Syefura Othman memberitahu, ia sebagai persediaan awal susulan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah meramalkan bahawa bencana banjir akan berlaku di beberapa buah negeri termasuk Pahang pada bulan November nanti.

Menurutnya, pelancaran tabung tersebut mengambil iktibar daripada kejadian banjir yang berlaku pada Disember 2021 lalu.

"Sejujurnya, saya tidak mahu banjir berlaku lagi di Ketari. Saya menyaksikan sendiri pahit dan jerih mangsa-mangsa banjir untuk bangkit semula selepas harta benda mereka musnah dilanda arus banjir.

"Trauma yang dihadapi masih belum lagi berakhir. Namun sebagai seorang wakil rakyat, saya perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Saya adalah ADUN pembangkang yang tidak mempunyai peruntukan. Maka saya sangat memerlukan pertolongan anda semua," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, tatkala rakan-rakan lain sudah mula mengumpulkan dana untuk pilihan raya umum (PRU), beliau sedang berusaha mengumpulkan dana banjir untuk warga Ketari.

"Saya dan warga Ketari mengharapkan bantuan anda semua. Kesudian anda membantu kami amat kami hargai," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan sukarelawan untuk kawasan tersebut dan boleh mengisi borang di pautan https://forms.gle/4y8EUbxvLTtTUFBf7.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (506137415990) atas nama Pusat Khidmat DUN Ketari.