Simpanan baharu emas, tembaga ditemui di Madinah

Arab Saudi mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada logam atau bukan logam di negara itu. - Foto AFP
Arab Saudi mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada logam atau bukan logam di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

JEDDAH - Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan penemuan tapak baharu bagi deposit emas dan bijih tembaga di wilayah Madinah.

Menurut Saudi Press Agency (SPA), Pusat Kajian dan Penerokaan Mineral, emas itu berada dalam kawasan sempadan di Madinah.

Ia turut menyatakan bijih tembaga ditemui di empat tapak di wilayah Wadi Al-Faraa juga di Madinah.

Penemuan baharu itu dijangka menarik para pelabur tempatan dan antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Lokasi-lokasi yang bakal menjadi kawasan perlombongan itu dilaporkan mempunyai saiz pelaburan yang dijangkakan bernilai AS$533 juta (RM2.4 trilion) dan boleh membuka peluang sebanyak 4,000 pekerjaan.

Perlombongan adalah salah satu sektor yang telah dikenal pasti dapat mengembangkan ekonomi dan ia juga adalah sebahagian daripada matlamat Wawasan 2030 negara berkenaan.

Pada Jun lalu, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman mengumumkan bahawa keutamaan negara adalah untuk sektor penyelidikan termasuk pembangunan mampan dalam sektor perlombongan.

Sehubungan itu, pada bulan Mei lepas, Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi menggariskan rancangan untuk menarik pelaburan bernilai AS$32 bilion (RM145.14 bilion) ke dalam sektor perlombongan.

Artikel Berkaitan:

Pada bulan Januari lalu, Profesor Abdulaziz bin Labon, Pengerusi Persatuan Koperasi Ahli Geologi Arab Saudi memberitahu SPA bahawa negara itu mempunyai sekurang-kurangnya 5,300 lokasi mineral sama ada yang berbentuk logam atau bukan logam, bahan binaan, batu hiasan dan batu permata. - Agensi