UAE gagalkan serangan 137 peluru berpandu, 209 dron

ABU DHABI - Angkatan tentera udara dan pasukan pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya memintas dan memusnahkan 137 peluru berpandu balistik dan 209 dron yang dilancarkan ke arah wilayah negara itu sejak bermulanya serangan Iran, menurut Kementerian Pertahanannya.
Kementerian menyatakan bahawa sejak permulaan serangan, 137 peluru berpandu balistik Iran yang dilancarkan ke arah UAE telah dikesan, yang 132 daripadanya berjaya dimusnahkan, manakala lima lagi jatuh ke dalam laut, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Sebanyak 209 dron Iran turut dikesan; 195 telah dipintas, manakala 14 jatuh di dalam wilayah dan perairan negara, menyebabkan kerosakan sampingan yang kecil.
Ia menyatakan bahawa, hasil daripada pemintasan berkesan peluru berpandu dan dron tersebut, beberapa serpihan jatuh di kawasan berasingan di seluruh negara, membawa kepada kerosakan material kecil pada sebilangan kemudahan awam.
Kementerian menegaskan bahawa pihak berkuasa yang kompeten telah bergerak serta-merta, dengan kesediaan dan keupayaan penuh, untuk menangani situasi tersebut mengikut prosedur yang diluluskan dalam kes sedemikian, dan langkah-langkah perlu telah diambil bagi menjamin keselamatan penduduk serta mengawal tapak yang terjejas.
Ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut, dengan mengulangi penolakan mutlak UAE terhadap tindakan sedemikian, yang merupakan peningkatan ketegangan yang serius dan tindakan pengecut yang mengancam keselamatan orang awam serta menggugat kestabilan.
Kementerian menekankan bahawa tindakan menyasarkan tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa, dan UAE mempunyai hak sepenuhnya untuk membalas peningkatan ketegangan ini serta mengambil semua langkah perlu bagi melindungi wilayah, rakyat dan penduduknya.
Kementerian mengesahkan bahawa ia kekal dalam kesiapsiagaan tinggi dan bersedia sepenuhnya untuk menangani sebarang ancaman, dengan mengambil semua tindakan perlu bagi menghadapi sebarang cubaan untuk menggugat keselamatan dan kestabilan negara dengan tegas.
Ia menegaskan bahawa keselamatan warganegara, penduduk dan pelawat adalah keutamaan tertinggi yang tidak boleh dikompromi.
Kementerian menggesa orang ramai untuk mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi di negara itu dan mengelak daripada menyebarkan khabar angin atau maklumat yang tidak disahkan. - Bernama
Ringkasan AI
- Angkatan tentera udara dan pasukan pertahanan udara Emiriah Arab Bersatu berjaya memintas dan memusnahkan 137 peluru berpandu balistik dan 209 dron Iran
- Sebanyak 132 peluru berpandu balistik Iran berjaya dimusnahkan dan lima lagi jatuh ke dalam laut
- Sebanyak 195 dron Iran telah dipintas manakala 14 jatuh di dalam wilayah dan perairan negara, menyebabkan kerosakan sampingan yang kecil
- Pemintasan peluru berpandu dan dron Iran membawa kepada kerosakan material kecil pada sebilangan kemudahan awam di UAE
- UAE mengutuk serangan tersebut dan menekankan hak sepenuhnya untuk membalas dan mengambil langkah perlu bagi melindungi wilayah serta penduduknya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
