Kemenangan SMK Dato Harun buka tirai Piala Datuk Mokhtar Dahari

Pasukan bola sepak SMK Dato Harun menjulang piala kemenangan selepas menewaskan SMK Meru dalam Piala Sumbangsih Piala Datuk Mokhtar Dahari di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, di sini pada Sabtu.
Pasukan bola sepak SMK Dato Harun menjulang piala kemenangan selepas menewaskan SMK Meru dalam Piala Sumbangsih Piala Datuk Mokhtar Dahari di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan bola sepak SMK Dato Harun mengambil langkah kanan apabila menang besar dalam Piala Sumbangsih kumpulan A Piala Mokhtar Dahari 2022 (bawah 15 tahun) menewaskan SMK Meru sebanyak 6-1 di Padang Latihan SUK, Seksyen 5, di sini pada Sabtu.

Ketua jurulatih pasukan bola sepak SMK Dato Harun, Mohammad Zaki Kahar berkata, kemenangan tersebut adalah satu kejutan buatnya kerana ia melepasi sasaran awal iaitu 1-0 atau 2-1.

Bagaimanapun, dia berkata ia mungkin berpunca daripada jaringan gol yang dibuat oleh pihaknya pada awal permainan dan memberi kesan kepada pasukan lawan.

"Mungkin hari ini, para pemain menunjukkan prestasi yang baik di luar jangkaan. Bila kita jaringkan gol pertama pada minit kedua perlawanan, mungkin itu menyentap pihak lawan (SMK Meru).

"Akhirnya kami mendominasi permainan dan terus membuat jaringan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohammad Zaki berkata strategi sama akan digunakan untuk perlawanan seterusnya menentang pasukan dari SMK Seri Gombak di Stadium Kuala Selangor pada Selasa depan.

Namun katanya, ia bukan satu alasan untuk pasukannya memandang rendah kepada pihak lawan ekoran prestasi memberangsangkan pada perlawanan petang Sabtu itu.

"Seperti tadi, tempo permainan yang ditunjukkan agak tinggi dan pihak lawan sukar menyaingi pasukan kami.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita akan cuba buat yang terbaik untuk kekalkan prestasi permainan seperti tadi," katanya.

Sinar Harian pada Ogos lalu melaporkan kejohanan bola sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) bakal kembali berlangsung bermula pada Isnin ini selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik.

Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, kejohanan yang amat dinanti-nantikan itu akan menyaksikan sebanyak 32 pasukan terbaik dari setiap daerah di Selangor bakal berentap untuk meraih piala tersebut yang sudah mencapai tahun keempat penganjurannya.

"Kita mengharapkan kejohanan ini akan terus berjaya seperti mana tahun-tahun lalu. Malahan semangat daripada pihak sekolah dan pemain juga sangat berkobar-kobar kerana mereka sudah lama bercuti,” katanya.