Kehakiman sukar bebas kalau pemimpin ikut selera

Tengku Razaleigh (tengah) bersalaman dengan hadirin di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad ke-24 pada Jumaat.
Tengku Razaleigh (tengah) bersalaman dengan hadirin di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad ke-24 pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Badan kehakiman sukar berfungsi secara bebas sekiranya ada pimpinan bertindak mengikut selera tanpa mematuhi perkara yang dinyatakan oleh undang-undang ataupun perlembagaan.

Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah yang bersependapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berhubung badan kehakiman pertama kali dilihat bebas pada masa kini terutama melibatkan hal ehwal politik.

Tengku Razaleigh berkata, tidak mahu menyentuh soal adanya perbezaan atau tidak antara kepimpinan sekarang dengan dahulu sebaliknya menegaskan mendaulatkan undang-undang serta perlembagaan negara sentiasa dijunjung.

“Kalau kita menjunjung perlembagaan negara bererti kita mahu lihat 'the rule of law' berjalan dengan baik dan sentiasa disanjung oleh semua pihak, tak kira kecil, besar, tua atau muda.

“Dulu memang ada kebimbangan untuk badan kehakiman bebas kerana pimpinan ketika itu agak bertindak mengikut selera mereka dan tidak mengikut perkara yang dinyatakan oleh undang-undang ataupun perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Berhad (Bhd) ke-24 (2022) di Hotel Grand River View di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi KGMMB Bhd, Ibrahim Marlan.

Ketika diminta mengulas kepentingan mempertahankan kebebasan badan kehakiman demi masa depan negara yang lebih baik, Tengku Razaleigh berkata, undang-undang adalah terpakai untuk sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

“Tak boleh membeza-bezakan antara orang kumpulan ini yang berkuasa ataupun kumpulan yang lain pula berkuasa di zaman yang lain.

“Undang-undang terpakai untuk semua. Kalau ‘A’ ‘A’ lah, ‘B’ ‘B’ lah, tanpa mengira daripada mana-mana parti politik kerana undang-undang tak pilih bulu,” katanya.

Pada Khamis lalu, Musa menegaskan tidak pernah melihat badan kehakiman seperti masa kini yang bebas dan sangat tegas sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak khususnya terhadap golongan yang mempunyai kepentingan politik.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak ada juga golongan yang gembira kerana sistem perundangan negara memperlihatkan tiada campur tangan daripada kerajaan.