PH tubuh jawatankuasa bincang dengan Muda

Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Nasional (Awan) 2022 di sebuah hotel, pada Jumaat.
Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Nasional (Awan) 2022 di sebuah hotel, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) akan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengadakan rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan permohonan parti itu menyertai PH.

Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pemukiman atau 'retreat' PH di Seremban, pada Khamis.

"Semalam (Khamis) Datuk Seri Anwar sebagai pengerusi, telah sebut dengan jelas yang kita akan menubuhkan jawatankuasa untuk berjumpa dengan Muda bagi mengadakan rundingan.

"Itu tahap yang saya boleh beritahu sekarang. Kami akan cuba selesaikan dalam waktu terdekat. Ada peringkat yang kena ikut," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Nasional (Awan) 2022 di sebuah hotel di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan Muda sebulat suara bersetuju menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Perkara itu diputuskan melalui Persidangan Pilihan Raya Muda.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya terbuka mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

Sementara itu ditanya sama ada PH terbuka menerima Muda, Salahuddin yang merupakan Timbalan Presiden Amanah berkata, PH boleh menerima permohonan daripada mana-mana parti untuk bekerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Tapi ada beberapa tindakan perlu kita lalui dulu dan perlu dijelaskan kepada semua parti yang berhasrat bekerjasama dengan kami," katanya.