Pengguna perlu semak status notifikasi produk

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Yusof)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Yusof)
A
A
A

SHAH ALAM – Pengguna produk kosmetik diingatkan berhati-hati dan bijak membuat keputusan sebelum membeli produk 'timbang kilo' yang semakin mudah didapati dan dijual pada harga murah terutama di media sosial.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata, pengguna perlu sedar bahawa produk tidak mendapat notifikasi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi risiko bahaya terhadap kesihatan.

“Produk-produk yang meragukan dan berbahaya dari segi kesihatan dan keselamatan tidak sewajarnya dijual terutama di platform digital. Memang perlu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) campur tangan dalam hal tersebut.

"Namun kesukaran mungkin dihadapi SKMM untuk menghalang atau menyekat platform tersebut dari diakses pengguna kerana platform digital ini terlalu luas. Yang mana boleh dijangkau oleh SKMM mungkin mereka boleh sekat dan halang akses kandungan tersebut namun sebahagian besar lain tidak dapat dikesan itu akan terus berleluasa.

"Selain peranan SKMM, pengguna sepatutnya mempunyai kesedaran sendiri selain menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik itu benar-benar selamat dan sesuai untuk digunakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan produk 'timbang kilo' masih diminati remaja susulan pengusaha produk tidak berdaftar itu itu semakin aktif mempromosikan barangan mereka di media sosial.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Siti Fatimah Noor Mat Johar berkata, produk itu juga semakin mudah didapati dan dijual pada harga murah selain kebanyakan produk juga tidak mempunyai lesen yang disahkan KKM mengakibatkan berlaku masalah kulit.

Dalam pada itu, Mohd Yusof menambah, faktor penyebab pengguna mudah terpedaya untuk membeli produk timbang kilo adalah disebabkan harga murah dan ia mudah diperolehi terutama di media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya mereka ini bergantung pada testimoni dikeluarkan oleh syarikat tersebut tanpa mengambil kira dari segi kesan produk kosmetik yang digunakan itu.

“Mereka mahu cuba selain terpengaruh dengan testimoni yang diberikan dan kadang-kadang produk tersebut menggunakan duta-duta dalam kalangan selebriti tertentu yang berpengaruh atau ‘influencer’ sekali gus menarik ramai orang untuk cuba menggunakan produk tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, sesetengah produk kosmetik bukan semua orang boleh menggunakannya dan ia bergantung terhadap sensitiviti kulit masing-masing.

“Memang kita mudah terdedah dengan produk-produk yang meragukan apatah lagi produk-produk tersebut mengandungi bahan aktif yang berbahaya pada kesihatan seperti merkuri. Bahan-bahan tersebut memang sensitif pada kulit dan kalau ia tak sesuai akan menyebabkan kulit mengalami kerosakan.

“Jadi sepatutnya apabila seseorang itu nak beli sesuatu produk itu, mereka perlu nilai sensitiviti kulit dan kalau boleh dapatkan nasihat daripada pakar terlebih dahulu sebelum guna. Tak boleh bergantung pada testimoni sahaja.

“Setiap orang mempunyai sensitiviti kulit berbeza yang mana ada sesuai dan ada tak sesuai. Apabila ia tak sesuai, risiko itu akan ditanggung oleh kita sendiri malah kita tak akan dapat ganti rugi atas kerosakan dialami,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna untuk memastikan pembelian produk kosmetik itu mendapat notifikasi selain menggunakan produk kosmetik yang selamat dan bebas mengandungi racun berjadual.