11 lagi mangsa penipuan kerja di Kemboja selamat pulang

Seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh, Kemboja pada 9 September lalu. - Foto Bernama
Seramai 24 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan berjaya dibawa pulang dari Phnom Penh, Kemboja pada 9 September lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 11 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah selamat pulang ke tanah air pada hari Khamis.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, ia menjadikan seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tersebut berjaya diselamatkan setakat ini.

“Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) melalui penerbangan Air Asia AK 535 jam 11.55 malam.

“Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara berkenaan atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa,” katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja bagi mengesan serta menyelamatkan mangsa agar mereka pulang ke tanah air dengan selamat.

Menurutnya, individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar Negeri melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel bkrm@kln.gov.my.

“Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel mwphnompenh@kln.gov.my sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: