Sukma MSN: Terengganu mara ke suku akhir acara bola sepak

Skuad Terengganu muncul juara Kumpulan C dalam acara bola sepak Sukma MSN 2022. - Foto FB Terengganu II
Skuad Terengganu muncul juara Kumpulan C dalam acara bola sepak Sukma MSN 2022. - Foto FB Terengganu II
A
A
A

TERENGGANU mengesahkan slot ke suku akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 apabila menewaskan Kelantan 2-0 sebentar tadi sekali gus muncul juara Kumpulan C.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, jaringan Aqil Asyrah Awang pada minit ke-30 dan ledakan Iman Zaidi Sulong minit ke-85 memberi kemenangan bermakna untuk Terengganu.

Sebelum ini, pada aksi pertama, Terengganu terikat 2-2 dengan Sabah dan kemenangan ke atas Kelantan mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan C dengan empat mata.

Kelantan yang kini tanpa sebarang mata, wajib menang pada perlawanan terakhir kumpulan berdepan Sabah, Sabtu ini.

Dalam aksi lain yang berlangsung di Stadium Mini Uniten, Pulau Pinang turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan Perlis 1-0 dalam aksi Kumpulan D.

Jaringan Danial Irfan Nadzri pada minit ke-24 sudah cukup untuk memastikan Pulau Pinang meraih tiga mata pertama dan memimpin kumpulan, sementara Perlis kini berkongsi satu mata bersama Kedah.

Kekalahan Perlis itu menyaksikan Kedah hanya memerlukan keputusan seri pada aksi terakhir berdepan Pulau Pinang, Sabtu ini untuk turut mara ke suku akhir.

Artikel Berkaitan: