Penghantar barang dicekup curi dompet pesakit

Keadaan di lokasi kejadian di sebuah hospital di Ampang. - Foto ihsan Polis Ampang Jaya.
Keadaan di lokasi kejadian di sebuah hospital di Ampang. - Foto ihsan Polis Ampang Jaya.
A
A
A

AMPANG - Tindakan seorang penghantar barang mencuri dompet seorang wanita warga Indonesia di sebuah hospital di sini membawa padah apabila dia ditahan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 7 pagi, wanita berusia 36 tahun itu sedang menerima rawatan asma menyedari dompet yang diletakkan di dalam beg tangannya telah hilang.

"Susulan laporan itu, kita berjaya memberkas seorang lelaki berusia 19 tahun pada jam 8.58 pagi. Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM660 dan satu beg dompet warna kelabu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, mangsa dan suspek adalah pesakit luar yang hadir ke hospital tersebut bagi tujuan mendapatkan rawatan.

"Secara kebetulan mereka ditempatkan dalam bilik yang sama dengan katil yang bersebelahan," ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing juga negatif dadah.

"Suspek direman empat hari bermula Khamis hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: