Hoki Piala Dunia Remaja: KHM sasar ke separuh akhir

Tunku Abu Bakar (tiga dari kiri) menerima replika cek daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani.
Tunku Abu Bakar (tiga dari kiri) menerima replika cek daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KONFIDERASI Hoki Malaysia (KHM) menyasarkan pasukan hoki remaja negara mara ke separuh akhir pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Dunia 2023 yang dijangka diadakan di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Disember 2023.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Malaysia harus menampilkan pasukan yang hebat beraksi dalam kejohanan berkenaan kerana menjadi tuan rumah.

"Kita telah membuat keputusan untuk melantik penolong ketua jurulatih hoki negara, Muhammad Amin Rahim sebagai ketua jurulatih pasukan hoki remaja yang akan membawa cabaran Malaysia pada piala dunia.

"Kita harap piala dunia ini Malaysia akan menyinar. We must shine sebab kita tuan rumah...Jadi, kita kena mempamerkan pasukan yang hebat dan sasaran itu sekurang-kurangnya mara ke semi final," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Cek Penajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor Edisi ke-10 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini pada Khamis.

Majlis berkenaan disempurnakan Tunku Putra Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Subahan berkata, pasukan hoki negara akan didedahkan dengan pelbagai kejohanan seperti Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur dan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa itu.

"Secara peribadinya saya rasa pasukan kita akan bermain dengan baik, kita mahu berikan mereka sebanyak mungkin pengalaman. Selepas ini pasukan akan berjalan ke pelbagai tempat untuk ambil bahagian dalam kejohanan-kejohanan tahun depan dan test matches," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2022 yang berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya di sini akan melibatkan penyertaan enam negara.

Katanya, kejohanan masuk tahun ke-10 yang tertunda sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 akan melibatkan Malaysia selaku tuan rumah selain United Kingdom (UK), Australia, India dan Jepun serta Afrika Selatan buat pertama kalinya.

"Penyertaan pertama kali pasukan remaja Afrika Selatan ini turut menambah lagi saingan selain pasukan Jepun yang mencari peluang merebut kejuaraan kejohanan ini," ujar beliau.

Beliau memberitahu, prestasi pasukan Afrika Selatan kini semakin baik dan berada pada tangga ke-13 dunia manakala pasukan Malaysia pula berada pada tangga ke-10 dunia.

Mengenai tajaan diterima untuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2022 itu, beliau berkata, setakat ini lebih RM2 juta diperoleh.

Antara yang memberikan tajaan ialah kerajaan negeri sebanyak RM500,000; RTM (RM400,000); Astaka Padu Sdn Bhd (RM50,000); Johor Corporation (RM100,000); Tenaga Nasional Berhad (RM100,000) dan Contemporary Logistics (RM100,000).