Hajiji dilantik penyelaras Bersatu Sabah

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (kanan) sebagai Penyelaras Bersatu Sabah pada Majlis Pelancaran Partri Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah di Pusat Komersil Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang hari ini.- Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (kanan) sebagai Penyelaras Bersatu Sabah pada Majlis Pelancaran Partri Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah di Pusat Komersil Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PENAMPANG - ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor dilantik sebagai Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Bersatu, pada majlis pelancaran Bersatu Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa Penampang, di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Hajiji berkata penubuhan Bersatu di Sabah membuka lembaran baharu dalam konteks sejarah politik Sabah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat, khususnya Bumiputera dan pribumi di Negeri Di Bawah Bayu ini.

“Saya yakin dengan tertubuhnya Bersatu di Sabah, rakyat Bumiputera atau pribumi di negeri ini mempunyai alternatif sebagai satu daripada parti pilihan yang boleh memperjuang dan melindungi kepentingan mereka berikutan perubahan landskap politik negara selepas pilihan raya umum lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu secara rasmi bertapak di Sabah

“Kehadiran Bersatu di Sabah bererti pimpinan juga membuka ruang atau platform baharu kepada golongan muda untuk turut menceburi politik menerusi parti ini dan Bersatu Sabah bersedia memberi ruang kepada mereka,” katanya.

Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis pelancaran Bersatu Sabah berkata Bersatu dipilih bertapak di Sabah kerana keyakinan terhadap kepimpinan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai seorang pemimpin bertaraf dunia selain rekod cemerlang semasa menjadi perdana menteri sebelum ini yang tidak boleh dinafikan. Beliau juga yakin Dr Mahathir mampu memulihkan imej Malaysia yang telah tercemar di mata dunia seterusnya membawa Malaysia kembali menjadi sebuah negara unggul dan dihormati.

“Kami juga memilih Bersatu kerana kami percaya dengan perjuangan dibawa oleh parti ini selain percaya perlunya Bersatu sebagai parti nasional berwibawa bertapak di Sabah.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak bersetuju sama sekali dengan pendapat dan tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan Bersatu datang ke Sabah adalah untuk menjajah. Pemikiran sempit politik seperti ini haruslah dikikis,” katanya.

Melihat senario politik di Sabah sebelum ini, Hajiji berkata, ia jelas membuktikan parti nasional diterima, disokong dan diberi mandat oleh rakyat sehingga boleh memerintah negeri itu selama hampir 25 tahun.

“Kami berharap Bersatu memainkan peranan merapatkan lagi hubungan Sabah dan Putrajaya yang sedia terjalin selain menjayakan dasar integrasi nasional untuk merapatkan hubungan antara rakyat Sabah termasuk Sarawak dengan Semenanjung,” katanya. - Bernama