Siasatan di lokasi nahas helikopter selesai

Laporan Sinar Harian pada 12 September lalu. Gambar kecil: Wan Azharuddin
Laporan Sinar Harian pada 12 September lalu. Gambar kecil: Wan Azharuddin
A
A
A

IPOH - Siasatan pihak berkuasa di lokasi nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus berhampiran Kampung Kenangan, Bidor selesai dijalankan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, selain Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), siasatan juga dilakukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Biro Siasatan Kemalangan Udara dan syarikat pengendali helikopter.

"Kesemua pihak memasuki kawasan berkenaan pada Selasa untuk memulakan siasatan insiden berkenaan.

"Siasatan di lokasi selesai dijalankan pada hari yang sama," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sehingga kini, bangkai helikopter jenis Eurocopter EC120B itu belum dialihkan dari lokasi kejadian.

Katanya, masih terdapat beberapa prosedur lain perlu dipatuhi bagi kerja-kerja mengeluarkan bangkai helikopter terbabit termasuklah pembersihan kawasan.

"Setakat ini, helikopter itu masih berada di lokasi kejadian. Kawasan sekitar nahas perlu dibersihkan bagi memudahkan operasi membawa keluar bangkai helikopter tersebut.

"Dalam hal ini, syarikat yang mengendalikan helikopter itu juga perlu berbincang dengan polis dan Jabatan Perhutanan sebelum kerja-kerja pembersihan kawasan dijalankan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad lalu, operasi mengesan helikopter milik syarikat swasta itu dijalankan selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada jam 12.16 tengah hari dan dilaporkan hilang di Bidor.

Nahas mengakibatkan juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, 58, warga Hong Kong meninggal dunia.

Helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 11.37 pagi untuk penerbangan peribadi dan sepatutnya dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada 12.37 tengah hari.