Gibbons ikrar ulangi kejuaraan LTdL

Ryan Gibbons FOTO: Ryan Gibbons
Ryan Gibbons FOTO: Ryan Gibbons
A
A
A

BEKAS juara Ryan Gibbons dari Afrika Selatan meletakkan harapan untuk mengulangi kejuaraan pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari 11 hingga 18 Oktober ini.

Pencapaian pelumba berusia 28 tahun itu serta pengalamannya yang sudah biasa dengan bentuk muka bumi dan cuaca di Malaysia, memberinya kelebihan untuk menyarung Jersi Kuning (pemenang keseluruhan) perlumbaan itu buat kali kedua.

Apatah lagi beliau kini telah mengumpul lapan kejuaraan sejak memenangi LTdL edisi 2017 yang juga merupakan pada tahun pertamanya bergelar pelumba profesional bersama Team Dimension Data.

Gibbons disenaraikan antara enam pelumba UAE Team Emirates dalam Jelajah Dunia bagi membantu pasukan tersebut menambah mata dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

UAE Team Emirates kini menduduki tempat ketiga teratas dalam ranking dunia pasukan, setelah mengumpul 11,893 mata, di belakang Jumbo Visma dan INEOS Grenadiers.

Gibbons dijangka mengetuai cabaran pasukan itu bersama-sama pendaki George Bennet dari New Zealand untuk klasifikasi umum, manakala pelumba senior Rui Costa dan Juan Sebastien Molano akan memberi tumpuan pada mengumpul mata.

Berbekalkan reputasi cemerlang sirkit Jelajah Dunia, UAE Team Emirates yang turut menyenaraikan juara dua kali Tour de France, Tadej Pogacar, adalah antara 22 pasukan yang telah mengesahkan penyertaan untuk perlumbaan lapan hari itu.

Sebelum ini, pelumba dari Afrika Selatan telah membawa pulang empat kejuaraan keseluruhan sejak LTdL diperkenalkan pada 1996.

Artikel Berkaitan:

Ryan Cox dari Barloworld adalah yang pertama memenangi jersi kuning pada 2005, diikuti David George (pasukan kebangsaan Afrika Selatan) pada 2006, Reinardt van Rensburg (Team Dimension Data) pada 2016 dan Gibbons pada 2017.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Shahaizereen Abdul Hamid berkata, perlumbaan tahun ini bakal menjadi antara yang paling menarik dan sengit, susulan kehadiran pasukan-pasukan dari Jelajah Dunia yang merebut mata untuk mengelak dari diturunkan divisyen musim depan.

“Penyertaan pasukan terhandal dunia ini akan menjadikan edisi tahun ini antara perlumbaan yang paling menarik dari segi kualiti penyertaan dengan kehadiran mereka,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak enam pasukan Jelajah Dunia, empat pasukan Pro Benua, 11 pasukan Benua dan satu pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam LTdL kali ini.

Cabaran LTdL sejauh 1,883 kilometer itu akan bermula di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berakhir di Langkawi termasuk laluan mendaki di Gunung Raya (Langkawi). - Bernama