Serik berdepan banjir besar, penduduk bina rumah rakit

Mohd Aris (gambar kiri) dan Normah berada di hadapan rumah rakit milik mereka sebagai persediaan berdepan musibah banjir.
Mohd Aris (gambar kiri) dan Normah berada di hadapan rumah rakit milik mereka sebagai persediaan berdepan musibah banjir.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Serik berdepan dua kali banjir besar, beberapa penduduk di Kampung Batu Kapor dekat Mentakab di sini tekad membina rumah rakit sebagai persediaan menghadapi musibah tersebut pada masa akan datang.

Seorang suri rumah, Normah Othman, 54, berkata, rumah rakit miliknya dibina oleh anaknya sendiri, Nor Salihim Ahmad Zakaria, 27, sejak Januari lalu dengan menelan kos kira-kira RM7,000.

Menurutnya, duit bantuan banjir RM2,500 yang diberikan kerajaan sebelum ini juga dilaburkan untuk membina rumah rakit berhampiran kediamannya.

"Sikit-sikit bila ada duit beli barang dan rasanya dapat siap sepenuhnya sebelum bulan November seperti yang diramalkan kali ini.

"Pengalaman banjir besar dua kali pada Januari dan Disember tahun lalu sudah membuatkan kami trauma dan bersedia kali ini.

"Sebelum ini, memang kampung kerap dilanda banjir kerana berada di kawasan rendah tapi tidak seteruk seperti tahun lalu apabila rumah ditenggelami hingga paras bumbung, semua barang rosak dan dihanyutkan air," katanya lagi pada Rabu.

Ujar Normah, sebanyak 15 tong digunakan untuk membuat rumah yang akan menempatkan barangan rumah apabila banjir melanda.

Seorang pengusaha sate, Mohd Aris Abdul Aziz, 60, juga turut membina rumah tersebut bersama anaknya sejak Februari lalu yang menelan belanja kira-kira RM2,000 setakat ini.

Artikel Berkaitan:

"Cukuplah dengan pengalaman dua kali banjir besar bila semua barang rosak dan hilang dihanyutkan air sebelum ini.

"Dengan rumah rakit yang dibina ini, kami boleh menempatkan barangan utama rumah dan elakkan kerugian lebih besar," kata Mohd Aris lagi.

Jelasnya, rumah tersebut akan diikat pada pokok berhampiran kediamannya apabila banjir melanda.

"Dengan pengalaman sebelum ini, puluhan ribu kerugian terpaksa ditanggung akibat banjir, kami sudah penat," tambah Mohd Aris.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Kapor, Mat Rasul Yurit menghargai inisiatif penduduk yang membuat persediaan awal berdepan banjir.