Gesa anak syarikat Selangor bertanggungjawab, tanam semula bakau

Rizam (dua dari kiri) menanam anak pokok bakau di Teluk Mendeleng, Sungai Air Tawar, Sabak Bernama pada Rabu.
Rizam (dua dari kiri) menanam anak pokok bakau di Teluk Mendeleng, Sungai Air Tawar, Sabak Bernama pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Anak syarikat kerajaan negeri Selangor digesa menanam semula pokok bakau di Sungai Tengar dan Teluk Mendeleng, di sini yang sebelum ini dimusnahkan bagi tujuan pelaksanaan projek tanaman kelapa sawit bagi mengelak risiko ancaman air pasang besar dan musim tengkujuh.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, kegiatan menebang dan memusnahkan pokok bakau menyebabkan kawasan berkenaan berisiko tinggi mengalami banjir dan hakisan tanah.

Menurutnya, cadangan projek penanaman kelapa sawit yang diusahakan anak syarikat negeri sehingga kini tidak menunjukkan sebarang hasil kepada ekonomi setempat, malah tergendala sejak sekian lama.

"Sepatutnya anak syarikat kerajaan negeri yang pada masa itu ingin melaksanakan projek tanaman kelapa sawit perlu mengambil tanggungjawab dengan menanam semula pokok bakau yang menjadi benteng daripada ancaman air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah berhampiran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mangrove Project Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) Selangor di Teluk Mendeleng, Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, kawasan pokok bakau di pesisir Pantai Sungai Air Tawar mempunyai kira-kira 100 hektar tanah itu dilihat seolah-olah diabaikan kerajaan negeri.

Rizam menjelaskan, isu penanaman bakau itu turut pernah disuarakan beliau pada sidang DUN, namun tiada tindakan serius dilakukan setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, usaha penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seharusnya diberikan pujian kerana mengambil inisiatif menanam sendiri pokok berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini, lebih 10,000 pokok bakau sudah ditanam sukarelawan terbabit tanpa bantuan pihak berwajib," ujarnya.