Ikbolasen berlari 8 KM ke padang latihan

bbintang larian jarak jauh, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain. - Foto Bernama
bbintang larian jarak jauh, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain. - Foto Bernama
A
A
A

KETIKA negara menunggu kira-kira dua dekad untuk melihat bintang larian jarak jauh yang baharu, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain menaruh harapan tinggi untuk menamatkan penantian sekian lama itu.

Atlet berusia 20 tahun dari Cameron Highlands, Pahang itu mempunyai keazaman yang kuat untuk mencapai kejayaan besar dalam acara larian jarak jauh yang lasak itu.

Muhammad Ikbolasen baru-baru ini mendapat perhatian apabila memenangi larian dalam Kejohanan Ujian Masa Asics Meta di Bangkok, mengetepikan idolanya dan seorang lagi pelari Pahang S Poo Vasanthan, bagaimanapun terdapat kisah yang panjang di sebalik usaha dan kerja kerasnya itu.

Disebabkan minat dan cinta beliau terhadap sukan itu sejak kecil, Muhammad Ikbolasen sanggup berlari di kawasan berbukit hampir 8 kilometer (km) dari rumahnya di Batu 33, Ringlet ke padang awam Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) di Tanah Rata, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dari usia 12 hingga beliau berumur 15 tahun.

Setelah sampai ke padang latihan, beliau akan menjalani latihan yang mencabar dengan pelatih lain di bawah bimbingan guru sekolah C. Yogesh kira-kira 90 minit, sebelum berlari 8 km lagi untuk pulang ke rumah.

Berasal daripada keluarga yang susah, beliau juga akan berjalan kaki ke sekolah dan berlatih di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ringlet yang terletak kira-kira 4 km dari rumahnya, sehinggalah beliau menerima tawaran daripada Sekolah Sukan Pahang di Gambang ketika berusia 16 tahun untuk menyambung pengajian tingkatan empat di situ.

"Biasanya saya berlatih kira-kira lima ke enam hari seminggu, sama ada di Tanah Rata atau Ringlet. Selalunya saya akan berlari ke sesi latihan, cuma kadang-kadang saya akan menaiki bas kerana saya tidak suka menunggu bas dengan lama.

"Matlamat saya adalah untuk muncul sebagai pelari jarak jauh yang terbaik di negara satu hari nanti. Idola saya Poo Vasanthan, yang saya kagumi sejak sekian lama, kini menjadi rakan latihan saya dan beliau seperti abang saya sendiri,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Ikbolasen yang sangat meminati Poo Vasanthan, memutuskan untuk berlatih bersama-sama bapa idolanya itu yang juga jurulatih, P. Subramaniam sejak 18 bulan lepas dan tinggal bersama keluarga jurulatihnya di Raub.

Muhammad Ikbolasen bersedia membuat penampilan sulung di Sukan Malaysia (Sukma) pada Khamis dalam acara 10,000 meter (m), diikuti 3,000m lari berhalangan dan 5,000m masing-masing pada Jumaat dan Sabtu.

"Saya menyasarkan untuk memenangi acara 10,000m dengan memecahkan rekod kejohanan; emas untuk 5,000m dan kedudukan podium bagi acara lari berhalangan. Tetapi saya sedar akan cabarannya, terutamanya daripada M. Sanjay dari Johor dan S. Dinesh (Selangor).

"Kejohanan di Thailand ialah acara antarabangsa saya yang pertama, saya berjaya menambah baik teknik dan catatan masa di sana, jadi saya harap dapat meneruskan momentum ini di Sukma. Poo Vasanthan dan jurulatih sudah seperti keluarga buat saya,” katanya.

Rekod semasa 26 tahun iaitu 31 minit dan 47.95 saat untuk acara 10,000m, dilakar A. Munusamy semasa edisi Pahang 1996.

Pencapaian terbaik Muhammad Ikbolasen untuk acara 10,000m, ialah 32:38s, manakala 5,000m dan 3,000m lari berhalangan beliau merekodkan masing-masing 15:32s dan 9:48s.

Sementara itu, Subramaniam yang juga jurulatih larian jarak jauh Sukma Pahang, yakin bahawa Muhammad Ikbolasen akan menang dalam acara 10,000m berdasarkan dedikasi dan bakatnya.

"Saya 80 peratus yakin beliau dapat merangkul emas dalam acara 10,000m daripada latihan dan catatan masa yang dilakukan sebelum ini, beliau juga antara kegemaran bagi 5,000m. Harapan begitu tinggi untuk beliau memecahkan rekod yang sangat lama,” katanya.

Acara olahraga Sukma dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 18 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan mempertaruhkan keseluruhan 44 pingat emas. - Bernama