Misi Harimau Muda bermula

Barisan pemain skuad B-19 negara menjalani latihan sebelum berlepas ke Mongolia pada Isnin.
Barisan pemain skuad B-19 negara menjalani latihan sebelum berlepas ke Mongolia pada Isnin.
A
A
A

SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) negara memburu tiga mata penuh apabila berdepan Mongolia dalam aksi sulung Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, Mongolia pada Rabu.

Pengendali negara, Hassan Sazali Waras berkata, tiga mata itu amat penting bagi membakar semangat anak-anak buahnya dalam mengharungi kempen kelayakan kali ini.

Malah, beliau memberitahu, kemenangan itu bakal menjadi bekalan terbaik sebelum berdepan Sri Lanka pada Jumaat dan pasukan pilihan yang juga gergasi Asia, Korea Selatan di venue sama Ahad nanti.

“Kebiasaannya perlawanan pertama ini begitu penting. Sasaran kami adalah tiga mata apabila berdepan Mongolia nanti bagi memudahkan laluan untuk layak ke pusingan akhir.

“Tetapi bagi saya, sasaran itu bukannya mudah untuk dicapai. Mongolia merupakan pasukan yang memiliki beberapa kelebihan, tambahan pula mereka akan mendapat sokongan padu penyokong sendiri.

“Barisan pemain Mongolia juga memiliki kelebihan dari segi fizikal. Kelebihan itu sudah pasti akan digunakan mereka ketika beraksi dengan pasukan negara esok (Rabu),” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebanyak 15 pasukan beraksi pada pusingan kelayakan kali ini dengan juara daripada setiap 10 kumpulan layak secara automatik ke Piala Asia 2023, manakala lima slot lagi diisi lima naib juara terbaik termasuk Uzbekistan selaku tuan rumah.

Mengulas mengenai persiapan Harimau Muda sejak tiba di Ulaanbaatar, Hassan Sazali berkata, beliau hanya berpeluang untuk menjalani latihan dan menguji permukaan padang di Stadium MFF pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau memberitahu, situasi berkenaan dilihat tidak akan melemahkan semangat barisan pemain negara untuk memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan misi meraih tiga mata.

“Kami baru sampai Uzbekistan semalam (Isnin) dan pasukan hanya ada satu hari untuk menguji keadaan padang selain mengadaptasi keadaan cuaca (sejuk) di sini.

“Apa pun diharapkan situasi itu tidak memberikan masalah. Paling penting setiap pemain dapat segera menyesuaikan diri sebelum berdepan Mongolia nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hassan Sazali mengesahkan setiap pemainnya bebas daripada sebarang masalah kecederaan dan sedia diturunkan apabila menentang Mongolia.

“Alhamdulillah, setakat ini semua pemain cergas. Harapnya saya dapat menurunkan barisan terbaik bagi mencapai sasaran tiga mata sulung,” jelasnya.

KELAYAKAN PIALA ASIA B-20 2023

RABU (14 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Mongolia

(Stdm MFF, Ulaanbaatar, 5 petang)

JUMAAT (16 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Sri Lanka

(Stdm MFF, Ulaanbaatar, 5 petang)

AHAD (18 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Korea Selatan

(Stdm MFF, Ulaanbaatar, 12.30 tengah hari)