Perlu ada instrumen perolehan dana lebih inovatif, futuristik

Wacana Sinar Harian bertajuk “Bajet 2023: Tawaran Untuk PRU15” menampilkan (dari kiri) moderator, Ismail Adnan; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antrabangsa, UUM, Dr Md Shukri Shuib yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Wacana Sinar Harian bertajuk “Bajet 2023: Tawaran Untuk PRU15” menampilkan (dari kiri) moderator, Ismail Adnan; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antrabangsa, UUM, Dr Md Shukri Shuib yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempunyai satu instrumen perolehan dana yang lebih bersifat inovatif dan futuristik, kata Penganalisis Dasar Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib.

Menurut beliau, kerajaan juga digalakkan untuk terlibat dalam industri yang mampu membawa dividen atau pulangan yang besar kepada negara.

“Contohnya, apa akan jadi hari ini kalau kita tidak ada Petroliam Nasional Bhd (Petronas)? Institusi ini kekayaannya bukan sahaja sebab cari gali minyak dalam negara tetapi kerana kecekapannya yang mampu menjana kekayaan dalam pelbagai cara.

“Mereka mendapatkan perolehan yang akhirnya membawa pulangan dalam bentuk dividen dan juga pemberian dana kepada kerajaan untuk diguna pakai dalam pelbagai aspek.

“Itu sudah ada kerangka perolehan (dana) yang bersifat inovatif. Macam mana pemimpin tahun 70-an boleh berfikir secara inovatif dan hasil daripada institusi seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh memberi kecekapan dana kepada kerajaan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-365 yang bertajuk "Bajet 2023: Tawaran untuk PRU15" yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Md Shukri berpandangan, perolehan dana lebih inovatif diperlukan supaya kerajaan tidak hanya bergantung kepada aspek percukaian terutamanya yang bersifat individu.

Artikel Berkaitan:

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib

“Kalau (cukai) dalam perniagaan tidak ada masalah kerana ia sumber yang terbesar, tetapi kalau kita masih bergantung kepada cukai individu, contohnya, pembelian di sektor peruncitan, sampai bila kita nak berhadapan dengan situasi ‘flip flop’ dalam aspek ini.

“Rakyat pun jadi kurang selesa, jika kita bersifat lebih inovatif, gaya baharu boleh dijana dan diterjemahkan dengan mewujudkan satu cukai yang inovatif terhadap rakyat,” jelas beliau.

Tambahnya, rakyat memerlukan kerajaan yang bersifat tangkas, profesional dan tidak hanya berlandaskan manifesto semata-mata.

“Kita membelanjakan dana negara tidak boleh hanya bersifat manifesto sahaja, kena panggil pakar.

“Kita tidak boleh ditadbir pemerintahan yang berasaskan politik semata-mata. Ini perkara serius kerana rakyat hari ini melihat dengan cara matang,” ujar beliau.