Sukma: Terengganu bangkit ikat Sabah

Muhammad Muslihuddin meraikan jaringannya ketika menentang Sabah pada perlawanan Kumpulan C Sukma 2022 di Stadium UKM, Bangi pada Selasa. - Foto Bernama.
Muhammad Muslihuddin meraikan jaringannya ketika menentang Sabah pada perlawanan Kumpulan C Sukma 2022 di Stadium UKM, Bangi pada Selasa. - Foto Bernama.
A
A
A

JUARA tiga kali Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Sabah 2-2 pada aksi sulung Kumpulan C Sukan Malaysia (Sukma) 2022 pada Selasa.

Pada aksi di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Sabah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain skuad Piala Presidennya Mohd Nazemizan Naslon pada minit ke-42.

Penyerang berusia 21 tahun dari Kota Belud itu terus mempamerkan aksi cemerlang apabila beliau memanfaatkan kesilapan pemain lawan yang membuat hantaran ke belakang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-62.

Selang beberapa minit Mohd Nazemizan berpeluang untuk meledak hatrik bagi skuad Badak yang pernah muncul juara edisi 2012, namun sepakannya tersasar di sebelah kiri gawang pasukan lawan.

Ketinggalan dua gol, pemain Terengganu tidak berputus asa dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan kapten pasukan Muhammad Safwan Mazlan pada minit ke-77.

Gol tersebut ternyata membangkitkan semangat skuad Penyu apabila Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-85 bagi memastikan mereka meraih sekurang-kurangnya satu mata.

"Saya agak kecewa kerana tidak dapat menjaringkan hatrik pada hari ini, namun berharap untuk muncul penjaring terbanyak dan membantu Sabah menjuarai edisi kali ini. Saya berharap dapat pamer aksi terbaik apabila menentang Kelantan pada Sabtu ini," kata Mohd Nazemizan.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali mengakui kesilapan mudah anak buahnya digunakan sebaiknya oleh Sabah walaupun mendominasi perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya aksi pertama perlu menang kerana kumpulan ini hanya ada tiga pasukan, tetapi pemain terlalu ghairah dan buat kesilapan. Mereka sepatutnya tidak boleh terlalu ghairah ketika menyerang dan fokus ketika bertahan," katanya.

Justeru, beliau menuntut skuad kendaliannya itu, yang turut dibarisi empat pemain Liga Premier, untuk mencipta kemenangan bagi mengesahkan slot ke suku akhir pada pertemuan kalah mati dengan Kelantan, Khamis ini.

Sementara itu, Perlis dan Kedah terikat tanpa jaringan dalam saingan Kumpulan D yang berlangsung di Stadium UNITEN. - Bernama