'PSM, MASTAF bersemuka minggu ini'

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

KEMELUT yang melanda arena sepak takraw negara dijangka berakhir apabila Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) bakal berbincang mencari penyelesaian minggu ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ketika berkongsi perkembangan itu berkata, badan induk tersebut dimaklumkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berkenaan ketetapan untuk kedua belah pihak bermesyuarat pada minggu ini.

“Wakil PJS memaklumkan dalam mesyuarat hari ini bahawa satu jalan terakhir bagi mereka (PSM dan MASTAF) iaitu memanggil bermesyuarat bagi kedua-duanya pada minggu ini.

“Kami sudah menerima ketetapan itu bahawa mereka akan mencari jalan bagaimana mahu menyelesaikan kemelut persatuan sepak takraw ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kali Ketujuh penggal 2021-2025 di Wisma OCM, pada Selasa.

Pada masa sama, Mohamad Norza menegaskan bahawa pembangunan sukan warisan itu tidak sepatutnya dimonopoli oleh kepentingan politik semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, pemimpin PSM dan MASTAF sewajarnya menjadi contoh yang terbaik dalam usaha mengangkat sesebuah sukan itu ke tahap lebih baik.

“Sekiranya kita memperkatakan mengenai pembangunan sukan sepak takraw ini, kita tidak boleh membiarkan politik dalam persatuan menguasai lebih daripada sukan itu sendiri.

“Kita tidak mahu orang yang berada di atas ini meletakkan kepentingan mereka melebihi kepentingan sukan tersebut

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya sukan sepak takraw negara mempunyai masa depan yang cerah, pembangunan sukan berlaku dengan begitu giat di negara kita.

“Jadi menjadi harapan saya untuk melihat pemimpin PSM dan MASTAF dapat menunjukkan satu kepimpinan melalui teladan sekali gus menjadi penanda aras kepada sukan itu sekiranya mahu pergi lebih jauh,” katanya.