Hasrat juruterbang jumpa isteri tidak kesampaian

Richard maut selepas helikopter Eurocopter EC120B yang dinaiki terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor.
Richard maut selepas helikopter Eurocopter EC120B yang dinaiki terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor.
A
A
A

IPOH - Juruterbang yang terkorban dalam nahas helikopter di Hutan Simpan Chikus, Bidor, Ahad lalu pernah meluahkan rasa gembira mahu bertemu dengan keluarganya bulan hadapan.

Rakannya, Tammy Loo Yin Leng, 53, berkata, hasrat Tsz Kin Richard Chan, 58, itu dimaklumkan ketika mereka bertemu beberapa bulan lalu.

Menurutnya, mangsa sudah lama tidak bertemu dengan isterinya yang menetap di Hong Kong berikutan negara berhadapan dengan wabak Covid-19.

"Richard beritahu dia tidak sabar menanti kehadiran isterinya untuk cuti-cuti Malaysia antara Oktober atau November ini.

"Kerana Covid, mereka telah berpisah selama beberapa tahun. Dia merancang mahu memperkenalkan isterinya kepada saya dan suami nanti," katanya ketika dihubungi media di sini pada Selasa.

Yin Leng berkata, kali terakhir mereka berhubung sekitar jam 11 pagi sebelum Richard dilaporkan hilang pada hari kejadian.

Yin Leng (kanan) berkongsi gambar ketika makan malam bersama suami dan Richard (kiri) pada Mei lalu. - Foto ihsan pembaca
Yin Leng (kanan) berkongsi gambar ketika makan malam bersama suami dan Richard (kiri) pada Mei lalu. - Foto ihsan pembaca

"Kami berhubung menerusi aplikasi WhatsApp merancang untuk makan malam bersama. Dia sangat gemarkan masakan Cina, jadi kami rancang mahu bawa dia makan nasi itik.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian kami seolah-olah tidak percaya Richard terlibat. Pada awalnya kami lega ketika tahu dia selamat tetapi tidak sangka dia akhirnya 'pergi'," katanya.

Tambah Yin Leng, dia mengenali Richard sejak tiga tahun lalu menyifatkan beliau sebagai lelaki yang merendah diri dan bersahaja selain penampilannya yang kemas.

"Kami tinggal berhampiran di Ara Damansara, Selangor sering bertemu, malah dia rapat dengan anak perempuan kami.

"Anak kami kini sedang menyambung pengajian di Toronto, Kanada berasa hiba dengan khabar duka ini dan kami pasti merindui cerita dan nasihatnya," katanya.

Media melaporkan mayat juruterbang warga Hong Kong itu ditemukan di bahagian kokpit helikopter selepas dilaporkan gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) Ahad lalu.