Ibu hilang selepas lahirkan bayi perempuan dicari

Natrah menunjukkan gambar Nur Ainhazwani Al-Hakim.
Natrah menunjukkan gambar Nur Ainhazwani Al-Hakim.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan seorang wanita yang menghilangkan diri selepas melahirkan bayi perempuan di Hospital Sultan Abdul Halim di sini kira-kira tiga tahun lalu.

Pelindung Kanak-kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Natrah Ahmad berkata, bayi perempuan yang diberi nama Nur Ainhazwani Al-Hakim itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen.

Menurutnya, ibu kandung kanak-kanak dikenali sebagai Rogayah Hamid, 35, menghilangkan diri sejak 12 Mei 2019.

"Alamat terakhir Rogayah ialah di Kampung Haji Ramlee, Sungai Jagung, Sungai Layar, Sungai Petani.

"Rogayah juga dikatakan berasal dari Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah namun gagal dikesan dikedua-dua lokasi," katanya.

Menurut Natrah, bayi perempuan itu diserahkan kepada keluarga gantian ketika usianya tiga bulan sebagai orang yang layak dan sesuai mengikut perintah mahkamah di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001.

Jelasnya, setakat ini juga tiada sebarang maklumat diperoleh berhubung suami kepada wanita itu.

"Dimohon mana-mana individu yang mengenali atau mengetahui sebarang maklumat mengenai wanita ini supaya tampil bagi membantu urusan daftar lewat kelahiran.

Artikel Berkaitan:

"Pencarian ini bertujuan memudahkan proses pendaftaran agensi berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Natrah di talian 044204900.