Keputusan permohonan Shafee gantung kes saman 28 September

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 September ini untuk keputusan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menggantung prosiding kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak-pihak dalam kes berkenaan semasa prosiding dalam talian.

"Keputusan mengenai permohonan itu akan disampaikan secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Bagaimanapun, Yeong Kang berkata, tarikh pendengaran rayuan di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia itu masih belum ditetapkan.

Prosiding hari ini turut disertai peguam utama Muhammad Shafee iaitu Datuk Seri Rajan Navaratnam dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad, Al-Hummidallah Idrus dan Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.

Muhammad Shafee, 70, memfailkan permohonan itu pada 3 November 2021 antara lain memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN, diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.

Pada 27 September tahun lepas, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

LHDN yang memfailkan saman itu pada 6 Mei tahun lepas mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. - Bernama