Bekas setiausaha, bendahari UMNO bahagian direman seleweng RM600,000

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Georgetown bagi mendapatkan perintah reman.
Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Georgetown bagi mendapatkan perintah reman.
A
A
A

GEORGETOWN - Bekas setiausaha dan bendahari UMNO bahagian di Pulau Pinang direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan wang parti berjumlah lebih RM600,000 untuk kegunaan peribadi.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 59 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Georgetown, Rosnee Mohd Radzuan bermula Selasa hingga 19 September depan.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan terhadap kedua-dua lelaki tersebut.

Kedua-dua suspek yang juga pengarah sebuah yayasan pendidikan di negeri ini tiba di pekarangan Mahkamah Georgetown kira-kira jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Difahamkan, mereka ditahan SPRM Pulau Pinang pada Isnin selepas dipanggil memberi keterangan atas aduan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan mereka ketika memegang jawatan berkenaan pada 2018.

Suspek berusia 59 tahun itu yang memegang jawatan setiausaha dan rakannya berusia 73 pula sebagai bendahari dikatakan telah bersubahat dalam menggunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan wang rasuah melalui pengeluaran wang daripada akaun bank milik UMNO.

Difahamkan wang terbabit untuk kegunaan diri mereka sendiri serta kepada syarikat milik mereka dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM600,364.87.

Artikel Berkaitan: