Ahmad Amzad dikejar ke hospital akibat 'mengah' daki bukit

Ahmad Amzad
Ahmad Amzad
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dikejarkan ke hospital selepas dikatakan terlalu kepenatan dan ‘mengah’ ketika menyertai satu program mendaki sempena Hari Malaysia di Bukit Besar di sini pagi tadi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dipercayai mengalami masalah pernafasan, ketika sedang mendaki bukit setinggi 156 meter dari aras laut itu bersama lebih 400 peserta, pada program anjuran kawasan Parlimen itu dengan kerjasama Pejabat Penerangan Kuala Terengganu.

Ahmad Amzad dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas dan keadaan beliau kelihatan stabil sebelum diusung, namun tidak bermaya.

Difahamkan keadaan beliau kini stabil dan masih berada di hospital untuk pemantauan dan dijangka dibenarkan pulang petang nanti.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Saharrudin Mohamed yang turut hadir pada program itu berkata, sepatutnya Ahmad Amzad merasmikan program itu selepas mendaki bukit berkenaan, selain menyempurnakan cabutan bertuah untuk peserta terlibat.
Artikel Berkaitan:


"Bagaimanapun, dengan apa yang berlaku kepada Datuk (Ahmad Amzad) kita terpaksa batalkan program perasmian ini dan meneruskan dengan acara cabutan bertuah sahaja,” katanya. - Bernama