Tiga syarikat bergabung bangun tanah wakaf Selangor, Johor

Dari kiri: Ahmad Raziff, Khamsiah dan Alex menandatangani MoU dengan disaksikan pegawai kanan (berdiri) syarikat-syarikat yang menjalin kerjasama pada majlis yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
Dari kiri: Ahmad Raziff, Khamsiah dan Alex menandatangani MoU dengan disaksikan pegawai kanan (berdiri) syarikat-syarikat yang menjalin kerjasama pada majlis yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
A
A
A

TIGA syarikat iaitu Widuri Capital Management Sdn Bhd (WCM), Bintang Kencana Sdn Bhd (BKSB) dan ANDORRA Healthcare Bhd (AHB) mengumumkan perjanjian kerjasama strategik baharu untuk pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak di tanah-tanah wakaf Johor dan Selangor.

Pengarah WCM, Datuk Alex Wee Cheng Kwan berkata, kerjasama tersebut akan melengkapkan kewujudan WCM untuk menyediakan syarikat berasaskan kemudahan penjagaan kesihatan tempatan dengan akses yang lebih besar kepada sumber dana alternatif daripada pasaran ekuiti swasta tempatan.

“Sebagai rakan kongsi dalam BKSB, kami tidak ragu-ragu tentang keupayaan BKSB untuk membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan baharu dan mengiktiraf keupayaan AHB dalam menguruskan hospital tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Dalam majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di Putrajaya itu, Alex berkata, dana itu akan dapat memudahkan rancangan BKSB untuk melaksanakan pembangunan tersebut.

WCM ialah Perbadanan Pengurusan Ekuiti Persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BKSB, Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar berkata, projek tersebut bukan sahaja akan memberi manfaat kepada masyarakat yang disasarkan di sekitar tanah wakaf tetapi menawarkan projek pembangunan berpotensi untuk BKSB di masa depan.

“Kerjasama ini penting bagi BKSB untuk mempromosikan beberapa projek pembangunan hospital lain di seluruh negara, serta meningkatkan nilai tanah wakaf dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.

"BKSB telah mengenal pasti lokasi-lokasi lain yang berpotensi di negara ini dan menjalin bekerjasama dengan pengendali terkemuka di samping mempromosikan pusat kecemerlangan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Pengarah dan Pengasas AHB, Dr Khamsiah Muda, pembangunan hospital tersebut akan menjadi sebahagian daripada pelan pembesaran Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ANDORRA dalam mempromosikan konsep Penjagaan Ihsan dalam persekitaran penjagaan kesihatan pelbagai disiplin.

“Kini hospital itu terletak di Seri Kembangan, Selangor, Hospital Wanita dan Kanak-kanak ANDORRA menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak pakar,” tambahnya.

Katanya, MoU itu adalah sebahagian daripada pelan induk AHB untuk pengembangan kemudahan penjagaan kesihatan bagi membolehkan wanita dan kanak-kanak mendapat akses perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar terkemuka dalam persekitaran yang penuh kasih sayang.

Penglibatan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) dalam kerjasama ini juga akan menyumbang kepada impak yang besar kepada keseluruhan rancangan pembangunan kerana institusi itu diamanahkan kerajaan dalam membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan di tanah Wakaf.