[VIDEO] Tiada sebab Najib berada di HKL pada Ahad

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan tiada sebab untuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Ahad lalu.

Tegasnya, keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pekan yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun itu adalah memuaskan.

"Pandangan profesional dan pakar yang memberi rawatan pada Jumaat memaklumkan bahawa kesihatan Najib adalah dalam memuaskan," katanya selepas Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination di kementeriannya pada Selasa.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi mengelakkan sebarang pertikaian di masa hadapan Najib dimasukkan ke HKL pada Isnin untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

"Saya maklumkan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib buatlah segala pemeriksaan dan saringan agar tiada lagi pertikaian.

"Jika sudah lengkap, laporan akan diserahkan kepada Najib dan mahkamah sekiranya perlu," katanya.

Khairy berkata, dua mesyuarat konsultasi telah diadakan bersama keluarga Najib yang turut disertai Datin Rosmah Mansor.

"Saya sebenarnya tidak mahu beri maklumat lanjut tetapi ia telah menjadi isu umum, jadi saya kena jawab untuk menjaga integriti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairy berkata demikian mengulas laporan ahli keluarga yang mempersoalkan Najib tidak dimasukkan ke HKL dan dibenar pulang selepas menerima rawatan.

Sementara itu, Khairy turut menolak dakwaan bahawa ubat tekanan darah tinggi Najib ditukar.

"Dulu beliau ambil ubat yang dibeli daripada hospital swasta, namun apabila dirujuk ke HKL, ubat generik diberikan.

"Ubat-ubatan itu adalah sama, formula sama tetapi generik," katanya.

Tambahnya, tuduhan mengatakan ubat ditukar seolah-olah memberi gambaran bahawa ubat berbeza adalah tidak benar.

"Ubat generik ini kandungan sama. Penjelasan ini penting kerana terdapat tuduhan daripada pegawai dan ahli keluarga Najib," katanya.

Sebelum ini, Pegawai Khas Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi memaklumkan, tekanan darah Najib dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya susulan pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perutnya.

Pada perkembangan lain, Khairy berkata, KKM akan membuat perolehan vaksin Covid-19 jenis baharu untuk varian baharu.

"Dalam masa terdekat saya akan umumkan siapa yang layak terima, kita tak buat secara besar-besaran dan akan fokuskan kepada kumpulan berisiko tinggi," katanya.