[VIDEO] Video gaduh tular berpunca daripada kenaikan sewa rumah

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PASIR MAS - Insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Facebook pada Isnin didakwa berpunca daripada pertikaian kenaikan sewa rumah antara pihak penyewa dan pemilik.

Sebelum itu sebuah akaun yang dikenali sebagai Kelab Info Malaysia memuat naik video berdurasi 19 saat memaparkan insiden yang berlaku di Pasir Mas sehingga tular.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, maklumat tersebut hasil siasatan lanjut yang dilakukan ke atas individu terlibat.

"Penyewa telah berjanji untuk menyerahkan kunci rumah pada hari kejadian, namun gagal berbuat demikian menyebabkan berlaku pertikaian dan pergelutan antara kedua-dua belah pihak.

"Kedua-dua belah pihak yang terlibat telahpun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi memberi keterangan lanjut dan menyelesaikan pertikaian tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam insiden yang berlaku pada Ahad itu tiada sebarang kecederaan serius dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Katanya, hasil perbincangan yang telah diadakan kedua-dua belah pihak mengakui kesilapan masing-masing dan tidak berhasrat untuk meneruskan kes dan mahu menyelesaikan secara baik.

Mohd Nasaruddin berkata, orang ramai dinasihati supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham berlaku dalam kalangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi IPD Pasir Mas ditalian 09-793 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan sebuah video tular di laman sosial Facebook yang didakwa berlaku pergaduhan melibatkan senjata api adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ia tidak melibatkan senjata apa sebagaimana dakwaan di Facebook.