Azeem boleh pecut lebih laju

Azeem mampu mengungguli acara 100m di bawah catatan 10s dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Azeem mampu mengungguli acara 100m di bawah catatan 10s dalam tempoh satu hingga dua tahun.
A
A
A

PELARI sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berpotensi melakar kejutan untuk mengungguli acara 100 meter (m) menerusi catatan di bawah 10 saat (s) dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Begitu pandangan bekas atlet negara dan juga pendidik, Waihon Liew yang memberitahu, sasaran tersebut adalah realistik dan boleh dicapai menerusi latihan bersistematik, perancangan rapi dan keazaman tinggi atlet berusia 18 tahun itu.

Beliau yang berkelana di Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2010 berkata, tanpa mengabaikan pelajaran dan bidang akademik, Azeem masih boleh terus aktif dengan menyertai kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) seperti yang diimpikan.

“Berdasarkan pencapaian, dengan catatan rekod 10.09s, Azeem boleh menyertai kejohanan Divisyen Satu yang menetapkan syarat 10.19s.

“Kejohanan diadakan setiap dua minggu dan ia amat kompetitif kerana bersaing dengan atlet yang juga penuntut universiti di AS dari Nigeria dan Afrika yang mempunyai catatan di bawah 10s,” katanya menerusi sidang video dengan Sukan Sinar baru-baru ini.

Waihon yang berasal dari Rawang, Selangor memberitahu, mendapat bimbingan daripada legenda dunia seperti Carl Lewis di Universiti Houston menjadi idaman dan kebanggaan setiap atlet olahraga.

Waihon bersama isteri, Donna.
Waihon bersama isteri, Donna.

Katanya, di bawah bimbingan legenda itu beberapa atlet seperti Elijah Hall, Cameron Burrell, Mario Burke dan Shaun Maswangani telah memecah rekod baharu acara 4x100m NCAA tiga tahun lepas dan mereka mampu berlari di bawah 10s serta memiliki disiplin tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukan soal jurulatih dan teknik latihan semata-mata, tetapi dapat belajar dengan Carl Lewis adalah satu kebanggaan,” katanya yang juga bekas atlet dan berkahwin dengan warga AS, Donna.

Beliau menambah, soal akademik menjadi keutamaan universiti itu menerusi penyediaan pelbagai kemudahan pembelajaran termasuk guru tuisyen bagi memastikan para penuntut kekal dengan gred cemerlang.

“Penuntut turut disediakan pembimbing psikologi dan kaunseling, selain pegawai fisioterapi. Universiti Houston turut menerapkan budaya seimbang antara pelajaran, sukan dan kerjaya untuk jangka panjang,” katanya.

Justeru, Waihon berharap Azeem dapat membuat keputusan terbaik demi masa depannya dalam pelajaran, sukan dan kerjaya.

“Saya bersedia memberi pandangan dan pihak universiti juga sudah maklum mengenai pencapaian Azeem. Houston terbuka buat atlet berpotensi besar seperti Azeem,” katanya.

Tambah beliau, Azeem berpeluang menyertai keluarga besar Universiti Houston bagi kemasukan Januari 2023 kerana proses permohonan masih dibuka sehingga tarikh tutup pada 1 November depan.

Azeem yang dibimbing jurulatih, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah menggegarkan olahraga negara apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia dengan catatan

10.09s di peringkat saringan.

Ia memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 2016.

Lewis, 61, yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali dilantik sebagai ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Houston bulan lalu.