Keindahan Malaysia, harapan rakyat dalam 'nada seruling'

Perambalan Arumugam telah menerbitkan lagu baharu bertajuk ‘Nada Seruling’ sebagai penghormatan kepada negara dan seluruh rakyat.
Perambalan Arumugam telah menerbitkan lagu baharu bertajuk ‘Nada Seruling’ sebagai penghormatan kepada negara dan seluruh rakyat.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Peniup seruling terkemuka tanah air Perambalan Arumugam telah menerbitkan lagu baharu bertajuk ‘Nada Seruling’ sebagai penghormatan kepada negara dan seluruh rakyat, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Gubahan lagu tersebut mengandungi muzik berunsur Melayu, Cina dan India serta komponen rap, selain turut mengetengahkan susunan muzik komuniti pribumi dan minoriti lain dalam masyarakat.

Menurut Perambalan, lagu itu yang mengambil masa dua hari untuk dihasilkan, mengandungi alunan seruling, biola dan sitar dalam tempo dan getaran yang harmoni, yang mendendangkan kepelbagaian dan perpaduan Malaysia.

Beliau yang juga dikenali sebagai Uncle Perul, 71, berkata, Nada Seruling timbul daripada hasratnya untuk menyumbang kepada negara yang telah memberi ruang kepadanya untuk mengasah minat dan membina kerjaya profesional.

"Kita masih dalam proses pemulihan daripada kepungan pandemik dan apa lagi cara yang baik untuk bangkit dari kepahitan dan kehilangan daripada meraikannya dengan muzik dan lagu, sebagai penghormatan buat Malaysia dan rakyat pada dua peristiwa penting dalam sejarah tanah air kita.

"Lagu ini menggabungkan (pelbagai) keindahan Malaysia dan membawa harapan serta impian rakyat untuk keamanan dan kemakmuran berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, lirik lagu itu ditulis dalam Bahasa Melayu oleh Ridzuan Salam dari Istana Budaya dan idea untuk gubahan lirik dicadangkan oleh anak perempuannya Brentha dan Lishani.

Perambalan, yang mencipta lebih 120 lagu sepanjang 60 tahun kerjayanya dalam industri muzik, telah meraih pelbagai anugerah dan gelaran termasuk The King of Flutes (Kulai Venthan) yang disampaikan oleh Tun S.Samy Velu pada 1984, Pingat Pangkuan Negara (PPN) (1997) dan Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Sugam Karnatika (2019).

Selain seruling, ahli muzik itu turut cekap bermain nadaswaram (alat muzik klasik berasal dari India Selatan) dan trompet, selain mengetuai kumpulan muzik instrumental India bersama kedua-dua orang anak perempuannya yang bermain sitar dan biola. - Bernama
Artikel Berkaitan: