MyTQA versi baharu rujukan pilih produk pelancongan

Nancy Shukri. Foto: MOTAC.
Nancy Shukri. Foto: MOTAC.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengenalan Program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) versi baharu membolehkan ia berperanan sebagai rujukan kepada orang ramai untuk memilih produk pelancongan yang terbaik untuk dilawati.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengenalan Program MyTQA versi baharu juga bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain industri untuk menyertainya serta dapat meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

“Para pemain industri juga digalakkan untuk menawarkan pakej yang lebih menarik kepada pelancong dalam dan luar negara.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga sentiasa bersedia untuk memperluaskan Program MyTQA ini kepada lain-lain pemain industri di bawah sektor pelancongan, seni dan budaya bergantung kepada kesesuaian serta keperluan dari semasa ke semasa.

“Kerjasama yang berterusan daripada penggiat industri amatlah diharapkan supaya dapat bersama-sama MOTAC dalam menjayakan Program MyTQA ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, MOTAC memaklumkan Program MyTQA versi baharu telah dilancarkan di Panggung Sari, Kompleks Kraftangan Malaysia.

Kata kenyataan itu, Program MyTQA yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 merupakan inisiatif bagi memberikan pengiktirafan kepada produk pelancongan serta memberi penekanan kepada penggiat industri pelancongan supaya lebih mengutamakan mutu perkhidmatan yang disediakan dan menaiktaraf kualiti kemudahan.

Menurut MOTAC, penstrukturan semula kategori di bawah MyTQA dari 13 kategori sedia ada kepada tujuh kategori baharu adalah berdasarkan segmen-segmen yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Pelancongan Negara (DPN 2020-2030).

Artikel Berkaitan:

“Penstrukturan semula kategori ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai pemain industri untuk memohon pengiktirafan di bawah Program MyTQA ini,” kata kenyataan itu.

MOTAC berkata, sehingga kini sebanyak 61 produk pelancongan dari pelbagai kategori di seluruh negara telah menerima pengiktirafan MyTQA dan bilangan produk ini akan bertambah.

“Memandangkan bagi tahun 2022 sahaja pihak MOTAC telah menerima 28 permohonan baharu dan penilaian semula,” katanya.