Najib keluarkan 46 cek berjumlah RM10.3 juta

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan 46 cek berjumlah RM10.3 juta kepada syarikat, individu, bekas menteri, UMNO dan yayasan kebajikan bermula Mac hingga Disember tahun 2011.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, Ahli Parlimen Pekan itu mengeluarkan cek-cek berkenaan dari akaun semasa dengan nombor terakhir 694, miliknya.

Ketika dirujuk dokumen penyata akaun oleh Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam, Uma Devi berkata, ia adalah cek AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan yang disertakan dengan nombor serta tarikh pengeluaran.

Beliau berkata, nilai tertinggi dicatatkan ialah RM750,000 manakala terendah RM5,000.

Menurutnya, antara penerima tersebut ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi (RM100,000) dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan (RM200,000).

“Cek turut diberikan kepada UMNO Bahagian Tun Razak dan Bahagian Idera Mahkota masing-masing RM200,000.

“Jakel Trading pula menerima dua cek berjumlah RM360,000, Institut Terjemahan Negara Malaysia Bhd (dua cek, RM966,000); Yayasan Rahah (empat cek, RM2 juta) dan ORB Solutions Sdn Bhd (lima cek, RM2.45 juta),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Uma Devi berkata, pemimpin UMNO itu juga telah membuka akaun bank nombor terakhir 694, pada 13 Januari 2011 dan menutupnya pada 30 Ogos 2013.

Bermula Februari dan Disember 2011, Najib telah menerima kadar faedah RM1.25 juta menerusi 11 pembayaran setiap bulan.

Jumlah faedah yang diterima berbeza mengikut baki semasa akaun pada setiap bulan, ini berdasarkan kod 202000 yang tertera dalam status setiap transaksi kemasukan kadar berkenaan.

“Kadar faedah terendah dicatatkan ialah pada 28 Februari iaitu RM5,214 manakala tertinggi pada Disember RM308,621.92,” katanya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.