Manfaat ekopelancongan Sungai Perak

Rumah rakit yang diusahakan Norsilawati di Sungai Perak berhampiran Kampung Batak Rabit.
Rumah rakit yang diusahakan Norsilawati di Sungai Perak berhampiran Kampung Batak Rabit.
A
A
A

TELUK INTAN - Potensi Sungai Perak sebagai lokasi ekopelancongan perlu dimanfaatkan bagi menggalakkan peluang ekonomi masyarakat.

Antara peluang yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan ialah rumah rakit memandangkan ia masih belum diteroka sepenuhnya sepanjang tebing Sungai Perak.

Seorang pengusaha rumah rakit, Norsilawati Kamaruzzaman, 49, berkata, rumah rakit dilihat sesuai untuk diketengahkan sebagai tarikan baharu bagi Sungai Perak yang panjang dan luas.

Menurutnya, kewujudan rumah rakit membolehkan orang ramai merasai pengalaman memancing udang galah yang begitu banyak di Sungai Perak ini.

"Saya lihat potensi rumah rakit ini cukup besar untuk ekopelancongan di Sungai Perak ini.

"Sejak dibuka pada bulan Mac lalu, rumah rakit yang saya usahakan ini mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di dalam Perak tetapi di luar Perak.

"Malah saya turut berkongsi pengalaman dan usaha bersama-sama penduduk setempat untuk membina rumah rakit mereka sendiri sekali gus membantu meningkatkan ekonomi," katanya ketika ditemui di RIN Rakit Water Hut miliknya di Kampung Batak Rabit di sini pada Isnin.

Jelasnya, kewujudan rumah rakit di pesisir Sungai Perak itu juga tidak menjejaskan alam sekitar kerana pembinaannya dibuat secara lestari bagi memastikan ekosistem di sungai berkenaan tidak terganggu.

Artikel Berkaitan:

Norsilawati melihat rumah rakit berpotensi untuk dijadikan daya tarikan baharu di Sungai Perak.
Norsilawati melihat rumah rakit berpotensi untuk dijadikan daya tarikan baharu di Sungai Perak.

Menurut Norsilawati, dengan adanya rumah rakit itu juga, kaki pancing boleh membawa keluarga bersama-sama menikmati keindahan yang terdapat di Sungai Perak.

Sementara itu, seorang operator pelancongan, Muhammad Sahril Mustafa, 34, turut mengakui Sungai Perak sangat berpotensi untuk dijadikan kawasan ekopelancongan di negeri ini.

Mengusahakan perkhidmatan bot pelancongan menyusuri Sungai Perak, dia menjelaskan alam semula jadi di kawasan hilir sungai tersebut mempunyai pelbagai khazanah yang boleh dimanfaatkan.

Menurutnya, antara khazanah tersebut seperti Pulau Bangau, kelip-kelip dan hasil akuatik Sungai Perak seperti ikan air tawar serta udang galah.

MUHAMMAD SAHRIL
MUHAMMAD SAHRIL

"Saya mengusahakan River Cruise ini bermula tahun 2018 lagi dan merupakan satu-satunya operator bumiputera di sini. Memang permintaan pelancong untuk aktiviti ekopelancongan sangat tinggi terutama waktu cuti.

"Jadi memang benar, potensi Sungai Perak amat besar dan perlu dimanfaatkan penduduk setempat," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sahril berkata, perkara paling penting yang perlu diberikan perhatian adalah aspek kebersihan dan pemeliharaan Sungai Perak untuk memastikan tiada pencemaran berlaku sekali gus mengekalkan habitat sedia ada.