Najib tidak buat aduan pada AmIslamic Bank

Najib, Uma Devi
Najib, Uma Devi
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengurus cawangan Ambank (M) Berhad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa, meskipun penyata akaun bank dihantar setiap bulan, namun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membuat aduan kepada AmIslamic Bank berhubung transaksi keluar masuk wang dalam akaunnya.

R Uma Devi, 43, berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya, dalam prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion dana 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Uma Devi yang juga saksi pendakwaan ke-37 itu berkata, Najib tidak pernah mempertikai penyata akaun, termasuklah dalam kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Selain itu beliau berkata, Najib juga tidak pernah menfailkan saman terhadap bank itu atas dakwaan melakukan kesilapan mengendalikan akaun bank bermula 2015 hingga 2018.

Menjawab soalan Sri Ram, saksi ini berkata, selain kes 1MDB, beliau pernah memberi keterangan di mahkama, membabitkan kes SRC.

“Semua keterangan saya berhubung kes SRC diterima di semua peringkat mahkamah tinggi dan rayuan,” jelas beliau.

Sri Ram: Adakah bank tempat puan bekerja mempunyai sistem, di mana pelanggan menerima penyata bank secara berkala?

Uma Devi: Ya, pihak bank akan menghantar penyata akaun bank kepada pelanggan setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Sri Ram: Jadi, adakah tertuduh (Najib) pernah buat aduan berhubung transaksi atau mendakwa pihak bank melakukan kesilapan ketika mengendalikan akaunnya?

Uma Devi: Tidak, sepanjang pengetahuan saya, walaupun dalam kes SRC, beliau tidak pernah buat aduan.

Sri Ram: Bagaimana dengan kes ini (1MDB), jawapan yang sama?

Uma Devi: Ya, jawapan yang sama.

Sri Ram: Bila puan berkhidmat dalam bidang perbankan, adakah bermula 2015?

Uma Devi: Saya bermula pada 2012 tetapi berpindah ke cawangan Raja Chulan pada 2015.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.