Deepavali: Selangor umum berita baik buat peniaga India

Rodziah (kanan) dan Mohamad Suparadi selepas mengumumkan pinjaman khas i-Bermusim untuk peniaga komuniti India di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Isnin.
Rodziah (kanan) dan Mohamad Suparadi selepas mengumumkan pinjaman khas i-Bermusim untuk peniaga komuniti India di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor buat julung kalinya memperkenalkan pinjaman khas i-Bermusim untuk peniaga komuniti India sempena sambutan perayaan Deepavali pada Oktober depan.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, pinjaman tersebut khusus buat para peniaga dan penjaja komuniti di negeri itu yang bakal berniaga di Bazar Deepavali atau di lokasi lain termasuk di rumah.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilancarkan bagi mengurangkan beban peniaga terutamanya mereka yang memerlukan modal tambahan atau untuk kegunaan lain.

"Para peniaga boleh membuat permohonan bermula Isnin sehingga 14 Oktober depan dan jumlah pinjaman yang boleh dipohon dari RM1,000 sehingga RM20,0000 bagi yang berniaga di Bazaar Deepavali.

"Peniaga yang berniaga di lokasi selain Bazaar Deepavali dan di rumah, pinjaman dihadkan kepada RM5,000.

"Tempoh pembiayaan sehingga 25 minggu atau enam bulan, dan bayaran balik dibuat secara minggu kepada mereka yang mempunyai lesen Bazaar Deepavali," katanya ketika sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Hijrah Selangor, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Dalam pada itu, Rodziah berkata, peniaga yang ingin memohon pinjaman berkenaan perlu mengemukakan dokumen sokongan, termasuk lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) atau di mana-mana cawangan agensi tersebut di seluruh negeri.

"Program i-Bermusim ini pernah diperkenalkan semasa Ramadan lalu dan hampir 1,000 peniaga mendapat manfaatnya.

"(Jika) kaedah ini memberi manfaat kepada semua, pastinya kita akan teruskan program ini bukan sahaja setakat Deepavali, tapi untuk perayaan bermusim yang lain," jelas beliau.