Bengkel kenderaan IPK Kedah terbakar

Keadaan bengkel kenderaan IPK Kedah yang terbakar 80 peratus dalam kejadian kebakaran awal pagi Isnin.
Keadaan bengkel kenderaan IPK Kedah yang terbakar 80 peratus dalam kejadian kebakaran awal pagi Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Bengkel kenderaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini terbakar 80 peratus dalam kejadian awal pagi Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kebakaran mengakibatkan 10 buah kereta dan lima motosikal berkuasa besar terbakar.

Bagaimanapun katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran membabitkan bangunan kelas B tersebut.

"Pusat Gerakan Operasi Negeri (PGO) menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.53 pagi melalui talian MERS 999 berkaitan kebakaran terbabit.

Anggota bomba memadamkan kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah.
Anggota bomba memadamkan kebakaran di bengkel kenderaan IPK Kedah.

"Dua buah jentera dengan kekuatan 20 anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja memadamkan kebakaran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, pasukan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jalan Kundur serta PBS Seberang Nyonya turut membantu di lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan bangunan bengkel kenderaan seluas 10.67 meter x 45.72 meter dan kita telah mengarahkan unit siasatan kebakaran serta Unit K9 ke lokasi kejadian untuk menyiasat punca kebakaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, punca kejadian belum dikenal pasti dan anggaran kerugian masih dalam siasatan JBPM Kedah.

"Bagaimanapun polis Kedah ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada JBPM Kedah dan semua pihak yang terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran serta menangani situasi ini," katanya.