Manifesto realistik, bukan retorik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Parti-parti politik perlu menumpukan kepada pelan jangka panjang dalam menangani masalah ekonomi negara termasuk kos sara hidup rakyat dan menjanjikan kestabilan politik dalam merangka manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, manifesto yang ditawarkan itu juga haruslah spesifik, pragmatik dan realistik untuk dicapai dalam waktu tertentu.

Bagaimanapun, bagi menarik golongan atas pagar, ia bukan bersandarkan kepada manifesto semata-mata tetapi golongan itu cenderung untuk melihat kepada faktor calon, isu-isu yang berbangkit dan bagaimana jentera akar umbi menyantuni mereka.

“Saya berpandangan, rakyat akan menilai bagaimana parti politik itu merangka strategi menangani masalah ekonomi negara, bukan sahaja untuk memastikan pembangunan ekonomi terus maju tetapi bagaimana langkah strategik yang mereka buat selepas pasca Covid-19.

“Selain itu, menangani masalah kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan bagaimana kerajaan mampu menarik pelaburan langsung asing. Tapi, ini hanya dapat dilaksanakan jika wujudnya kestabilan politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Jeniri menjelaskan, parti-parti politik juga perlu menyatakan apakah inisiatif yang akan dilaksanakan seperti usaha mewujudkan peluang pekerjaan lebih banyak dan mengurangkan kadar pengangguran khususnya dalam kalangan golongan muda.

Jelasnya, golongan muda khususnya lepasan universiti mahu melihat peluang pekerjaan yang lebih baik untuk menjamin masa depan mereka serta isu-isu berkaitan perumahan.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Saya fikir inisiatif-inisiatif lebih pragmatik yang dapat menangkap imaginasi politik golongan ini. Mereka perlu diyakinkan bahawa tawaran yang dikemukakan itu jauh lebih baik daripada ditawarkan kerajaan sebelum ini.

“Ini adalah soal naratif politik dan melalui komunikasi politik yang efektif dapat dilakukan.

“Pengundi atas pagar pula bukan hanya melihat kepada manifesto, tetapi mereka melihat juga kepada calon, isu-isu yang berbangkit dan bagaimana jentera akar umbi itu menyantuni mereka. Paling penting adalah strategi kempen, bukan sahaja kempen tradisional tetapi juga melalui media sosial baharu.

“Pendekatan pelbagai strategi kempen penting untuk ‘menundukkan’ mereka di atas pagar dan mengemukakan inisiatif serta langkah yang dapat menangani isu yang dihadapi golongan ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu tambah Jeniri, manifesto tidak semestinya terlalu ‘tebal’ (banyak) seperti yang pernah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH), yang menjadi manifesto paling banyak dalam sejarah politik pilihan raya negara tetapi ‘tipis’ dalam pelaksanaannya.

“Kita perlu manifesto yang pragmatik, realistik dan dapat dicapai dalam waktu tertentu. Ini perlu dijelaskan dengan konkrit dan sejelasnya mengikut bidang utama yang akan menjadi fokus kepada pemerintahan itu nanti jika mereka diberi kuasa.

“Jangan pula dianggap manifesto ini diukir di atas batu. Kalau yang telah termaktub dalam manifesto itu, ia adalah janji wajib ditunaikan. Kalau tidak, orang akan sangsi,” katanya.