X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih RM1 bilion projek fizikal agensi/jabatan KDN di Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menerima kunjungan hormat Muhyiddin di Pejabat Ketua Menteri di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah hari ini. -Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan lebih RM1 bilion untuk keseluruhan projek fizikal agensi dan jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di seluruh Sabah.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM887.66 juta untuk projek pembangunan fizikal bagi menyediakan infrastruktur yang lebih baik kepada warga KDN di Sabah.

"Peruntukan berkenaan adalah untuk pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pembinaan Kompleks Perumahan dan bangunan Pentadbiran Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran, pembinaan Penjara Lahad Datu, naik taraf Pusat Latihan RELA Negeri Sabah dan pembinaan Jabatan Pendaftaran Tawau.

"Selain itu kerajaan juga memperuntukkan peruntukan pembangunan berjumlah RM219 juta untuk meningkatkan keupayaan pengoperasian Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Agensi/Jabatan KDN sempena lawatan beliau di Sabah hari ini. Muhyiddin berkata antara projek pembangunan yang dilaksanakan dalam Esscom dan APMM ialah pembinaan Pangkalan Maritim di Semporna, pembinaan Forward Operation Base (FOB) di Pulau Mabul, serta pembinaan jeti terapung di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

"Saya berharap agar semua projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan dan mematuhi keperluan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

"Walaupun keupayaan kewangan kerajaan agak terhad pada masa ini, namun kerajaan akan menyediakan peruntukan yang sewajarnya kepada semua pihak, khususnya berkenaan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Muhyiddin berkata kementeriannya juga akan terus memohon peruntukan pembangunan bagi Pelan Pusingan Ke-4 (Rolling Plan Ke-4) untuk tahun hadapan dan fokus utama adalah untuk mendapatkan peruntukan baikpulih serta naiktaraf kuarters anggota agensi atau jabatan di bawah KDN. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!