BN berhak tentukan kerusi ditinggal bekas rakan

Ahmad Zahid hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-14, Parti Makkal Sakti Malaysia. Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB
Ahmad Zahid hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-14, Parti Makkal Sakti Malaysia. Foto Sinar Harian/ ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya BN yang berhak menentukan kerusi-kerusi yang ditinggalkan bekas rakannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu ditegaskan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipercayai merujuk kepada MCA yang berhasrat untuk bertanding di semua kerusi yang pernah ditandingi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Pulau Pinang pada PRU akan datang.

Menurutnya, kerusi-kerusi tersebut ketika ini bukanlah menjadi hak mana-mana parti dalam BN termasuklah pihak yang menuntut bertanding di kerusi berkenaan.

“Kerusi-kerusi yang dipunyai oleh bekas-bekas rakan kita bukan menjadi hak mana-mana parti yang menuntut kerusi itu tetapi hak kepada BN untuk menentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-14 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu ingin bertanding di kerusi-kerusi ditinggalkan Gerakan, yang kini tidak bersama BN, kerana kawasan terbabit mempunyai ramai pengundi Cina.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa kini tujuh parti ingin memohon menyertai BN berbanding enam sebelum ini.

“Saya pernah katakan dulu ada enam, sekarang tujuh. Kenapa mereka memohon sertai BN, tidak menyertai parti lain?

“Ertinya mereka mempunyai harapan yang tinggi kepada BN,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa Friends of BN akan diberi peluang untuk dicalonkan pada PRU15.

“Jangan risau, Friends of BN tetap akan dicalonkan dalam PRU15,” tegasnya.