'Semangat penyokong Terengganu tidak goyah'

Penyokong TFC yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu. - Foto Ihsan Terengganu FC
Penyokong TFC yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu. - Foto Ihsan Terengganu FC
A
A
A

BIARPUN kecewa dengan keputusan perlawanan final Piala FA 2022 yang tidak berpihak kepada Terengganu FC (TFC), semangat penyokong pasukan itu tidak goyah malah terus meletakkan keyakinan tinggi agar pasukan itu bangkit semula dalam perlawanan pada musim hadapan.

Wakil penyokong TFC, Radhie Abdullah Din berkata, dia tidak menafikan perasaan kecewa yang dirasai oleh setiap penyokong pasukan itu, namun mereka terpaksa menerima hakikat bahawa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) mempunyai kelebihan tersendiri.

"Penyokong Terengganu 'OK' sahaja. Kebanyakan kita berlapang dada dan menerima kekalahan ini kerana pasukan kita gagal menampilkan persembahan terbaik. Tiada penyokong kita yang membawa elemen negatif terhadap keputusan perlawanan sama ada melalui status atau 'serangan' di media sosial," ujarnya.

Bagaimanapun, Radhie berkata, perlawanan itu antara peluang terbaik TFC menamatkan kemarau 11 tahun untuk mara ke saingan AFC kerana penyokong mengimpikan pasukan itu kembali dan mengulangi semula kejayaan ke pentas Asia sejak 2012.

"Sedih kerana kita (penyokong) meletakkan harapan 'ini kalilah' kita menjadi juara kerana momentum TFC dalam setiap perlawanan Piala FA menunjukkan kita mempunyai kelebihan sejak mula iaitu sejak kita menjadi tuan rumah sehinggalah ke peringkat perlawanan akhir.

"Tetapi, kita masih belum bernasib baik. Kita masih belum menang dan kita akur bahawa pemain JDT mempunyai integriti tinggi," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Radhie berkata, penyokong pasukan itu tetap berbangga kerana TFC telah membuktikan semangat juang yang tinggi setelah melalui laluan yang sukar untuk mara ke perlawanan peringkat akhir.

"Untuk mencapai tahap ini, mereka telah menempuh laluan yang sukar dan semua ini digerakkan oleh pasukan itu sendiri. Kita bukan ditubuhkan daripada pemain yang sudah ada pengalaman. Kebanyakan pemain kita terdiri daripada pemain muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita akur pasukan kita mempunyai kekurangan dari segi kualiti kerana pasukan ini kita bangunkan sendiri. Kita kuatkan kualiti pemain kita sendiri dengan kebanyakan pemain tempatan dan ada sedikit perubahan pada pemain import. Kita tak sangka pula mereka tidak begitu 'menjadi' tahun ini. Beberapa pemain harapan juga 'hilang' malam tadi," ujarnya.

Sebelum ini, jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, ketika ditemui pemberita pada malam Sabtu mengakui jurang pemain-pemain Skuad Penyu dan Johor menjadi punca pasukannya kempunan menjulang Piala FA 2022.

Bagaimanapun katanya, perlawanan itu memberikan pengalaman baharu dan berguna kepada anak buahnya yang masih muda dalam membantu mengembangkan lagi karier mereka pada masa akan datang.

Impian TFC untuk menamatkan kemarau 11 tahun Piala FA tidak kesampaian apabila ditumpaskan JDT 3-1 di hadapan 84,321 penonton yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu.