Arif Aiman tekad bantu JDT menang kejuaraan antarabangsa

Aksi pemain JDT, Arif Aiman setelah berjaya membolosi gawang gol Terengganu FC pada perlawanan Final Piala FA JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
Aksi pemain JDT, Arif Aiman setelah berjaya membolosi gawang gol Terengganu FC pada perlawanan Final Piala FA JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN terbaik perlawanan Piala FA 2022, Arif Aiman Mohd Hanapi mengakui dia masih belum berpuas hati dengan apa yang diraih setakat ini meskipun berjaya menjulang trofi Piala FA di dalam kariernya.

Jelas pemain berusia 20 tahun itu, dia hanya akan berpuas hati sekiranya dapat bermain di peringkat yang lebih tinggi selain berjaya membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah pertama kali menang Piala FA dalam karier saya dan saya letak dalam diri saya tak akan pernah puas hati dalam setiap perlawanan sebab masa akan datang akan ada lebih banyak lagi perlawanan untuk saya buktikan yang saya boleh yang terbaik.

“Saya hanya akan berpuas hati bila satu hari nanti dapat bermain di peringkat tertinggi dan memenangi kejuaraan di peringkat antarabangsa bersama JDT,” ujarnya.

Pada aksi akhir Piala FA pada Sabtu, Arif Aiman merupakan antara tunjang kepada kemenangan JDT apabila menyumbat gol pertama perlawanan diikuti dua gol Bergson Da Silva untuk mengesahkan kemenangan mutlak 3-1 buat pasukan Harimau Selatan itu.

Dalam pada itu, Arif Aiman turut dedikasikan kejayaan membantu JDT menjulang Piala FA 2022 kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, Tunku Ismail merupakan individu yang banyak memberi dorongan kepadanya sehingga berjaya menjadi seorang pemain dalam kesebelasan utama JDT ketika ini.

"Saya memang tidak sangka dapat main dengan JDT sebelum ini kerana fikir susah rebut tempat dalam kesebelasan utama memandangkan pasukan mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Namun, saya nak ucap terima kasih kepada TMJ kerana baginda, sebab saya berada di sini.

"Baginda selalu beri motivasi supaya main dengan agresif dalam setiap perlawanan dan percaya kepada saya selama ini,” ujarnya.